Liek Hou tekad cipta sejarah di Tokyo

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou tekad mencipta sejarah menjadi pemain pertama dalam sukan itu yang memenangi pingat emas pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Semalam, pemain berusia 33 tahun itu mendapat perkhabaran gembira daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila namanya disahkan layak beraksi pada temasya di Tokyo bagi kategori SU5 (berdiri/ kemerosotan anggota badan atas).

“Akhirnya, saya kini adalah Olimpian. Saya layak beraksi pada Sukan Paralimpik Tokyo dalam acara perseorangan.

“Sasaran seterusnya untuk saya adalah mencipta sejarah menjadi pemenang emas pertama untuk Malaysia dalam sukan badminton,” kata Liek Hou menerusi hantaran pada akaun Facebook miliknya.

Dalam hantaran itu, Liek Hou yang menghuni ranking nombor dua dunia turut memuat naik surat pengesahan layak ke Tokyo daripada BWF kepada Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bertarikh semalam.

Pemain yang dibimbing Datuk Rashid Sidek itu adalah prospek kontinjen negara bagi memenangi emas di Tokyo.

Liek Hou mendapat tonik terbaik dalam persiapannya ke temasya terbesar dunia itu apabila sebelum ini melakar dua kejuaraan berturut-turut iaitu pada Kejohanan Badminton Para Antarabangsa di Dubai pada April dan Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol, bulan lalu.

Sementara itu, seorang lagi pemain badminton para negara, Didin Taresoh turut melayakkan diri ke Tokyo bagi kategori SH6 (berdiri/ kerdil). Sukan Paralimpik akan berlangsung bermula 24 Ogos hingga 5 September ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.