Liga M ‘naib juara’ kes tunggakan gaji di dunia

[email protected]

Kuala Lumpur: Siapa sangka sebenarnya Liga Malaysia (Liga-M) adalah ‘naib juara’ kes tunggakan gaji di dunia seperti mana data yang dikongsikan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) di laman sesawangnya.

Disebalik bantuan geran yang diluluskan Fifa bagi membantu membayar tunggakan gaji kepada pemain Liga M sejak 2015 lalu, kedudukan liga tempatan di tempat kedua di belakang Greece harus diambil serius oleh pentadbir bola sepak negara.

Berdasarkan rekod itu, sebanyak 147 permohonan dari Malaysia diluluskan untuk menerima manfaat daripada penubuhan tabung yang dikenali sebagai Tabung Fifa Untuk Pemain Bola Sepak (Fifa FFP).

Greece menjadi negara bola sepak paling bermasalah dengan kes tunggakan gaji sebanyak 291 kes yang sudah diluluskan oleh badan bola sepak dunia itu.

Manakala negara ketiga yang mencatatkan kes tertinggi adalah Turki dengan 138 kes diikuti Uruguay (76), Rusia (69), Romania (65) dan Portugal (48).

Malah, di Asia juga menyaksikan Liga M di tangga teratas membabitkan kes tunggakan gaji dengan Iran dan India masing-masing di belakang mencatatkan 17 dan 15 kes.

Untuk rekod, Fifa menerima sebanyak 1089 permohonan dari seluruh dunia dan 1,005 kes diluluskan dengan membabitkan 109 kelab dari 36 negara.

Bantuan geran itu akan disalurkan terus ke akaun pemain di mana tabung itu dibahagikan kepada empat peringkat pembayaran.

Daripada jumlah keseluruhan dana AS$16 juta (RM66 juta), fasa pertama bagi tempoh gaji tertunggak dari 2015-2020 akan membabitkan peruntukkan sebanyak RM20.6 juta.

Ia kemudian diikuti fasa kedua pembayaran untuk kes pada 2020 sebanyak RM12.4 juta, fasa ketiga dan keempat pada 2021 dan 2022, masing-masing dengan peruntukan sebanyak RM16.50 juta.

Bagaimanapun, sekurangnya-kurangnya geran yang disediakan Fifa itu berjaya dapat membantu pemain yang terkesan dengan tunggakan gaji.

Persatuan Bolasepak Malaysia (Fam) menerusi Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam mengesahkan seramai 147 bekas pemain dari lima pasukan Liga M akan menerima jumlah keseluruhan AS$456,214.48 atau bersamaan RM1.88 juta.

Setiap pemain akan menerima geran bantuan di antara AS$1,227.67 (RM5,000) hingga AS$9,227.67 (RM38,000) setiap seorang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.