Lima cedera diserang lelaki bersenjata pisau

WELLINGTON: Seramai lima orang awam cedera selepas diserang lelaki bersenjatakan pisau dalam kejadian di sebuah pasar raya dekat Dunedin, hari ini.

Polis memaklumkan, dalam kejadian jam 2.30 petang waktu tempatan itu, tiga daripada mangsa parah akibat ditikam dan suspek berjaya ditahan.

Menurut saksi, suspek bersenjatakan dua pisau secara tiba-tiba menikam pekerja pasar raya berkenaan dan orang awam yang cuba membantu menghentikan serangan itu.

Sementara itu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden, berkata kejadian terbabit tidak mempunyai kaitan dengan serangan keganasan.

“Buat masa ini, tiada sebarang maklumat yang mencadangkan kejadian ini sebagai serangan keganasan domestik,” katanya

Arden berkata, polis juga tidak mengesan suspek lain yang mempunyai sebarang kaitan dengan kejadian itu.

“Saya ingin memberi penghargaan kepada orang awam yang cuba membantu melindungi individu di sekeliling mereka. Ini adalah tindakan yang berani,” katanya.

Pengarah Urusan rangkaian Pasar Raya Countdown, Spencer Sonn, berkata pihaknya masih terkejut dan sedih dengan kejadian yang berlaku.

Insiden keganasan di New Zealand sebelum ini membabitkan serangan di Masjid Christchurch pada Mac 2019 apabila seorang lelaki berkulit putih menembak mati 51 umat Islam dan mencederakan 40 yang lain.

Berikutan kejadian itu, New Zealand memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat membabitkan senjata. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.