Mahkamah tolak permohonan injunksi, beri perintah interim kontraktor projek KVDT2

Dhaya Maju-LTAT mahu pengisytiharan bahawa pembatalannya sebagai kontraktor Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) adalah tidak sah.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi oleh kontraktor projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) terhadap kerajaan kerana menamatkan kontrak mereka untuk penyelenggaraan landasan.

Syarikat itu bagaimanapun berjaya dalam permohonan untuk injunksi Erinford sementara menunggu rayuan berhubung keputusan itu diselesaikan di Mahkamah Rayuan.

Hakim Lim Chong Fong membuat perintah Erinford itu untuk mengekalkan status quo. Ia berkuat kuasa sehingga 24 Jun dan pada tarikh itu akan luput secara atomatik melainkan dilanjutkan Mahkamah Rayuan.

Ini susulan keputusan Lim enggan menghalang kerajaan membatalkan kontrak RM4.475 bilion untuk penyelenggaraan landasan yang sebelum ini telah diberikan kepada Dhaya Maju-LTAT.

Kontraktor Dhaya Maju- LTAT Sdn Bhd pada Oktober 2020 memfailkan saman itu untuk mengisytiharkan penamatan kontrak itu tidak sah, menyalahi undang-undang dan melanggar perjanjian yang telah dipersetujui sebelum ini.

Turut dinamakan dalam saman itu ialah Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, firma perunding, Opus Consultants dan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Lim pada 30 April mendengar hujahan peguam Dhaya-Maju LTAT, Khoo Guan Huat dan Peguam Kanan Persekutuan Asliza Ali yang mewakili Wee serta kerajaan, sama ada Seksyen 29 Akta Prosiding Kerajaan 1956 (Akta 356) boleh diguna pakai.

Seksyen 29 memperuntukkan, injunksi tidak boleh dikeluarkan terhadap kerajaan dan kakitangan awam kerana menjalankan tugas mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Dhaya Maju-LTAT Mohamed Razeek Hussain mengulas keputusan itu mengakui ia tidak mengejutkan.

“Kami sedar ia bukan mudah, namun tetap percaya hak kami untuk mempertahankan kontrak yang dipersetujui kerajaan ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, Dhaya Maju-LTAT telah menjalankan kewajipannya dengan baik sejak diberikan kontrak itu dua tahun lalu, seterusnya cubaan kerajaan membatalkannya adalah tidak adil.

“Sebarang tender baharu untuk projek sebesar ini mungkin mengambil masa beberapa tahun sebelum kontraktor baharu dapat memulakan kerja-kerjanya,” katanya.

Katanya, menjadi kepentingan awam untuk projek itu diteruskan susulan itu syarikat masih bersedia merunding untuk membolehkannya dilengkapkan dengan terma yang dapat diterima semua pihak.

“Kami menantikan keputusan kerajaan berhubung perkara itu, dan percaya akan memperolehinya tidak lama lagi,” katanya.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.