Mahut, gajah ‘sehati sejiwa’

[email protected]

Temerloh: Persefahaman terjalin antara gembala atau mahut dengan gajah peliharaan perlu sentiasa diwujudkan dalam apa juga keadaan bagi memastikan setiap tugas termasuk rondaan di kawasan rizab hidupan liar dapat dijalankan dengan lancar.

Penubuhan Unit Rondaan Bergajah yang mula diperkenalkan tahun lalu oleh Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang di sini, menjadi cara terbaik yang dapat mengeratkan lagi hubungan haiwan bersaiz besar itu dengan penjaganya.

Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, pada hari biasa mahut hanya berada bersama gajah di bawah jagaan mereka dalam tempoh empat hingga lima jam, selebihnya mereka melakukan pelbagai tugas lain.

Menurutnya, dengan adanya pasukan Unit Rondaan Bergajah yang bertugas membuat rondaan dalam kawasan hutan Rizab Hidupan Liar Krau, mahut akan dapat bersama gajah jagaan mereka sepanjang masa termasuk malam dan aktiviti rondaan dilakukan dua hingga tiga kali sebulan.

Katanya, selepas bertugas pada waktu siang dengan aktiviti pemantauan mengikut laluan atau denai yang disediakan, mahut dan gajah akan berehat bersama di kawasan khemah sepanjang malam.

“PKGK Kuala Gandah kini mempunyai enam gajah dewasa tempatan yang terbabit melakukan tugas rondaan iaitu Sanum, Alam, Kasturi, Indah, Linang dan Abot yang berusia antara 18 hingga 45 tahun.

“Kini kami mempunyai 15 hingga 20 mahut berpengalaman yang setiap mereka menjaga seekor gajah. Ada juga dalam kalangan mereka boleh mengendalikan semua gajah.

“Kebanyakan mahut terdiri daripada masyarakat Orang Asli suku kaum Che Wong yang menetap di beberapa penempatan di Kuala Gandah ini,” katanya.

Beliau berkata, pada waktu terluang terutama musim panas mahut dan gajah denak mereka akan mandi di sungai, ia bagi menyejukkan selain untuk kebersihan haiwan terbabit.

Tambahnya lagi, untuk operasi memindahkan gajah liar dua hingga tiga gajah denak digunakan, sistem giliran mahut serta gajah denak dilakukan.

Proses latihan denak baharu turut dilakukan pada operasi tertentu.

Katanya, Unit Rondaan Bergajah PKGK Kuala Gandah adalah aktiviti di bawah Projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebagai Pusat Kecemerlangan Pengurusan Gajah yang juga program serampang dua mata.

Che Ku Mohd Zamzuri Chik menambah, selain sebagai aktiviti latihan kecergasan dan kecerdasan gajah serta mahut, ia juga bagi membantu tingkatkan perlindungan Rizab Hidupan Liar Krau.

“Program Unit Rondaan Bergajah turut membabitkan kerjasama dengan Pengurusan Rizab Hidupan Liar Krau selain turut disertai komuniti setempat terdiri penduduk setempat dan masyarakat Orang Asli.

“Kerjasama dengan masyarakat setempat turut membabitkan aktiviti sebagai pemandu pelancong yang datang ke PKGK Kuala Gandah sambil melihat acara yang diadakan termasuk melawat galeri gajah dan menonton video,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.