Majlis Presiden PH cadang KKM tangguh dos kedua vaksin

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mempertimbang pelaksanaan ‘strategi tunda dos kedua’ bagi melawan isu pertambahan mendadak kes COVID-19 dengan mengambil kira kekangan bekalan vaksin.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataannya, berkata ini berikutan jumlah jangkitan COVID-19 di negara ini mencapai tahap kritikal dan hampir mencecah 20,000 kes baharu dalam tempoh tiga hari.

Strategi itu, kata majlis itu, digunakan United Kingdom pada November lalu, selain semakin banyak negara lain menunda pemberian dos kedua, termasuk di Singapura dan India.

“Keutamaan kami pada saat ini mestilah untuk melindungi bilangan maksimum rakyat dalam jangka masa singkat ini, selain mengakui kekurangan dos vaksin pada peringkat ini, rintangan ini boleh diatasi dengan menunda pemberian dos kedua.

“Penyelidikan terbaharu Universiti Birmingham dengan kerjasama Public Health England mendapati pemberian Pfizer BioNTech booster 12 minggu selepas dos pertama berbanding tiga minggu, menghasilkan tindak balas antibodi jauh lebih kuat.

“Penyelidik Universiti Oxford pada Februari lalu, juga mendakwa tindak balas antibodi dilaporkan lebih dua kali ganda berbanding normal ketika pemberian dos kedua vaksin mereka ditunda selama 12 minggu,” katanya, hari ini.

Sebelum ini, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan menerusi tiga fasa, bermula dengan Kumpulan Barisan Hadapan, disusuli Kumpulan Berisiko Tinggi dan rakyat berusia 18 tahun ke atas.

Ia bagi memastikan antara 70 hingga 80 peratus rakyat di negara ini menerima vaksin menjelang Februari 2022, sekali gus membentuk imuniti kelompok sekali gus mengekang penularan COVID-19.

Sebanyak lima kaedah pendaftaran disediakan kerajaan, masing-masing menerusi dalam talian atau secara manual untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Kenyataan itu berkata, kelewatan pemberian vaksin menunjukkan seolah-olah tidak mempunyai bekalan mencukupi pelalian itu, walaupun kerajaan berulang kali memberi jaminan sebaliknya.

“Terdapat kekurangan bekalan vaksin yang nyata dan kesannya ternyata melihat trend membimbangkan di seluruh negara. Kita mesti menerima hakikat ini dan menyedari ada keperluan sangat mendesak untuk melaksana strategi terbukti secara saintifik ini.

“Kami amat menyedari serta merasai kekecewaan dan keresahan majoriti rakyat kerana terpaksa menunggu untuk pengambilan vaksin langsung menghadapi risiko dijangkiti COVID-19 semakin tinggi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.