Majlis tahnik anak Siti Nurhaliza, polis rakam keterangan 15 individu

[email protected]

KUALA LUMPUR: Polis sudah selesai merakam keterangan 15 individu berhubung dakwaan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pada majlis tahnik anak penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata lima lagi individu tampil hari ini bagi membantu siasatan, menjadikan keseluruhan 15 individu sudah diambil keterangan setakat ini.

“Sehingga kini, 15 keterangan sudah direkodkan termasuk orang kenamaan (VVIP) dan penceramah yang dikenal pasti hadir ke majlis itu.

“Siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan sedang dikemas kini sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Mohamad Farouk memaklumkan pihaknya sudah merakam 10 keterangan termasuk pemilik rumah dan penganjur majlis tahnik itu yang diadakan di kediaman Siti Nurhaliza di Bukit Antarabangsa, Ampang, dekat sini, pada 26 April lalu.

Siasatan kes itu dimulakan sejak Isnin lalu selepas polis menerima satu laporan mendakwa majlis itu melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beberapa gambar berkaitan majlis itu yang dimuat naik di media sosial, mengundang pelbagai reaksi netizen termasuk komen negatif dakwaan berlaku aktiviti rentas negeri oleh tetamu yang hadir.

Ada netizen mempersoalkan kehadiran beberapa tetamu termasuk VVIP dan penceramah agama pada majlis itu yang dikatakan datang dari luar Lembah Klang.

Pada Isnin lalu, Siti Nurhaliza, 42, dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa memohon maaf sekiranya penganjuran majlis tahnik anak lelaki mereka menyentuh sensitiviti seluruh masyarakat.

Bagaimanapun, Siti Nurhaliza menafikan dakwaan majlis itu melanggar SOP kerana atur cara dan bilangan tetamu diundang mematuhi SOP penganjuran majlis sosial PKPB.

Majlis itu juga, katanya, dibahagikan kepada tiga sesi dengan bilangan tetamu terhad dan dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid.

Selain itu, Siti Nurhaliza berkata, tiada aktiviti rentas negeri berlaku kerana individu itu setuju hadir berikutan berada di Kuala Lumpur atas urusan lain pada tarikh majlis itu diadakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.