Makin ramai golongan muda dijangkiti Covid-19 – KP Kesihatan

[email protected]

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti kadar jangkitan Covid-19 amat tinggi bagi golongan muda bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar jangkitan tinggi dikesan bagi individu berusia antara 20 hingga 39 tahun sepanjang tempoh berkenaan.

“Dengan varian baru, kita dimaklumkan oleh pakar bahawa jangkitan golongan muda semakin meningkat dan gejala semakin teruk dengan ramai dimasukkan di hospital serta unit rawatan rapi (ICU).

“Malah, rawatan yang kita beri kepada pesakit kurang berkesan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kebanyakan jangkitan berlaku membabitkan warganegara, manakala jangkitan bukan warganegara semakin berkurangan.

Beliau berkata, situasi itu amat membimbangkan kerana virus berkenaan ada dalam komuniti dan jangkitan menerusi kluster semakin berkurangan.

“Sekarang ini, kebanyakan kes adalah secara sporadik membabitkan individu warganegara. Kita tidak tahu dari mana jangkitan berkenaan diperoleh dan ia membimbangkan jangkitan dalam komuniti.

“Seperti jangkitan dalam hospital, 50 peratus adalah daripada komuniti dibawa ke hospital selain di sekolah, institusi pengajian dan sebagainya,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 46 kluster rentas negeri dikesan membabitkan lebih 6,000 individu dijangkiti Covid-19 bagi tempoh 7 Disember lalu hingga hari ini.

Beliau memberi fokus kepada satu kluster iaitu Kluster Pasai membabitkan seorang individu yang bekerja di Johor dan merentas negeri ke Sarawak selepas ayahnya meninggal dunia.

“Beliau yang dibenarkan balik ke rumah panjang menjangkiti 2,693 kes mengakibatkan 29 kematian membabitkan 58 rumah panjang.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati tiada varian dibawa individu berkenaan, namun mungkin imuniti penduduk di kawasan pedalaman adalah kurang menyebabkan jangkitan berlaku dan berakhir dengan kematian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.