‘Mangsa tren LRT, boleh ambil tindakan undang-undang’

[email protected]

KUALA LUMPUR: Mangsa kejadian kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) dalam terowong berhampiran KLCC, di sini, berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata sebagai negara demokratik, setiap mangsa mempunyai hak untuk berbuat demikian mengikut lunas undang-undang.

“Saya serahkan perkara ini kepada pihak Prasarana. Ini perkara biasa dan semua orang ada haknya.

“Mereka yang bercadang mahu mengambil tindakan boleh berbuat demikian mengikut lunas undang-undang,” katanya pada sidang media di Pusat Krisis Stesen LRT KLCC, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.30 malam Isnin lalu, tren bersama 213 penumpang dari Gombak dilaporkan bertembung dengan tren dari arah Kelana Jaya, menyebabkan 65 penumpang cedera termasuk enam parah.

Ditanya keadaan mangsa parah akibat insiden itu, Ka Siong berkata, seorang daripada mereka masih ditempatkan di pusat perubatan swasta dan empat lagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemantauan serta rawatan selanjutnya.

“Enam mangsa parah dengan seorang sudah dibenarkan pulang ke rumah dan bakinya masih di hospital.

“Saya sudah berjumpa dengan semua keluarga mangsa terbabit untuk menzahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang berlaku.

“Kita akan terus pantau keadaan mangsa dan doakan mereka cepat sembuh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.