Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.
Categories
News

MAQIS rampas hasil tani dari Thailand

KOTA BHARU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan, menahan seorang pemandu lori yang cuba membawa masuk pelbagai barangan keluaran pertanian dari Thailand tanpa permit import yang sah, di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, dekat sini, pada Rabu.

Pengarah MAQIS Kelantan, Roslan Che At, berkata kegiatan itu dikesan hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pegawai penguasa MAQIS ke atas sebuah lori di pintu masuk di ICQS itu.

Hasil pemeriksaan itu, pihaknya merampas 90 kilogram (kg) durian, 240kg limau madu, 144kg jambu madu yang dianggarkan bernilai RM3,192 serta 209 paket pelbagai jenis biji benih sayur dan buah yang dianggarkan bernilai RM725.

Perbuatan mengimport apa juga jenis keluaran pertanian tanpa Permit Import yang sah daripada MAQIS adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan lain Roslan berkata, pihak MAQIS Kelantan turut menerima dua serahan kes daripada Batalion Ke-8 Pasukan Gerakan Am (PGA8), berupa 960kg keratan ayam sejuk beku dan 475 paket pelbagai jenis sosej yang dianggarkan bernilai RM22,955 dalam Op Kontraban, Rabu lalu.

Semua barangan itu dirampas, kerana disyaki telah dibawa masuk tanpa Permit Import melalui pangkalan haram di tebing Sungai Golok, Rantau Panjang. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version