Masih terlalu awal Cools diberi tanggungjawab besar

[email protected]

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menganggap masih terlalu awal untuk pemain baharu skuad Harimau Malaya, Dion Cools diberi tanggungjawab besar pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE), tengah malam esok.

Ia susulan pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium itu baru sahaja secara rasmi menyertai skuad kendalian Tan Cheng Hoe, kelmarin.

Azlan bagaimanapun menjelaskan segalanya bergantung kepada penilaian Cheng Hoe dan kebolehan pemain itu dalam menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan dan mendapat keserasian bersama pemain lain.

“Kalau pemain bintang macam Cristiano Ronaldo, tak perlu tunggu lama boleh serasi dengan pemain lain. Namun, Cheng Hoe akan tengok perkembangan pemain ini dalam latihan dahulu.

“Kalau dia tengok pemain itu bagus dan cepat sesuaikan diri dengan permainan pasukan, dia boleh guna. Tapi kita jangan paksa, jangan nanti kita salahkan Cheng Hoe sebab apa-apa pun dia yang lebih tahu pemain itu boleh main atau tidak.

“Jangan nanti kita terburu-buru buat keputusan dengan terlalu bergantung pada nama, saya rasa terlalu awal nak turunkan dia (Cools). Peminat pun perlu sabar, masa terlalu singkat dan kita pun tak kenal dia.

“Kalau untuk lawan Vietnam, 12 Jun ini mungkin sesuai sebab sudah lebih seminggu (bersama pasukan) dan kita pun tahu tahap kecergasan dan permainan dia bagaimana. Tahap kecergasan permainan dan tahap kecergasan dalam latihan berbeza,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Semalam, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan mengesahkan pemain FC Midtjylland berusia 25 tahun itu sebagai pemain ke-26 skuad Harimau Malaya untuk menghadapi baki kempen kelayakan.

Dalam perkembangan lain, Azlan yakin skuad Cheng Hoe tetap memiliki peluang untuk mara ke peringkat seterusnya dalam kempen kelayakan kali ini.

“Untuk pasukan kebangsaan, kita sudah ada semua yang kita nak. Kita ada pemain campuran, sama seperti yang kita miliki masa kita layak ke Olimpik dulu.

“Ada pemain yang tinggi dan ada yang rendah, cuma mereka perlu jadikan jantung dan hati mereka sebagai satu ‘enjin’ yang tiada siapa pun boleh menggugat pasukan kita. Kerjasama saja tidak cukup jika kita tiada kasih sayang antara satu sama lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.