Warning: fopen(/tmp/alcjlouHTxWd-JSIJpa.tmp): failed to open stream: Disk quota exceeded in /home/neotizen/public_html/wp-admin/includes/class-wp-filesystem-ftpext.php on line 139

Warning: unlink(/tmp/alcjlouHTxWd-JSIJpa.tmp): No such file or directory in /home/neotizen/public_html/wp-admin/includes/class-wp-filesystem-ftpext.php on line 142

Mata palsu kembalikan keyakinan diri pesakit

KUALA LUMPUR: Penggunaan gigi dan kaki palsu sebagai prostesis atau anggota badan gantian bukan perkara asing dalam kalangan masyarakat kini.

Namun apabila disebut mata palsu, mungkin ramai merasa janggal dan tidak mengetahui tentang kewujudannya sebagai ‘pengganti’ bebola mata.

Berkongsi fakta menarik tersebut, Pakar Oftalmologi (mata) Dr Nurul Laila Salim, berkata walaupun tidak dapat membantu pesakit kembali melihat semula, pemakaian mata palsu mampu memperbaiki penampilan dan rupa paras pesakit kehilangan bola mata, contohnya pesakit kanser atau mereka yang kemalangan sehingga isi kandungan bola mata dibuang.

“Bagi pesakit tersebut, biasanya tulang muka di sekitar mata secara semula jadi akan mengecut setelah kehilangan isi kandungan bola mata dan menyebabkan tulang muka menjadi tidak simetri, terutamanya pada kanak-kanak yang masih membesar.

“Dengan pemakaian mata palsu, simetri tulang muka ini dapat dikekalkan secara lebih baik kerana adanya isipadu yang menyokong perkembangan tulang muka,” katanya kepada BERNAMA.

Setiap pesakit yang kehilangan bola mata biasanya dirujuk untuk membuat mata palsu selepas beberapa bulan selesai pembedahan membuang bola mata mereka, namun ada juga pesakit memutuskan untuk tidak menggunakan prostesis tersebut atas sebab tertentu.

Mengulas lanjut , walaupun sering digelar ‘mata batu’ atau ‘mata kaca’, mata palsu biasanya diperbuat daripada bahan akrilik (medical grade acrylic) yang kurang memberi tindak balas alergi kepada tubuh badan.

Dr Nurul Laila yang berpengalaman 12 tahun dalam bidang itu, berkata kebanyakan pembuat mata palsu di Malaysia adalah golongan sama yang menghasilkan gigi palsu malah proses pengambilan impresi untuk acuan mata palsu juga dibuat oleh pasukan dental.

Menurutnya, sebagai persediaan sebelum prosedur pembuatan mata palsu, doktor mata akan membuat suatu pembedahan untuk memasukkan implan berbentuk sfera ke dalam kelongsong bola mata sedia ada bagi memastikan mata palsu kelihatan lebih semula jadi dan mempunyai volum yang baik.

“Gambar wajah pesakit akan diambil supaya warna iris dan saiz anak mata pada mata yang normal dapat dikenal pasti dan warna iris ini akan cuba ditiru semirip mungkin pada mata palsu nanti.

Seterusnya, dalam keadaan berbaring, mata pesakit diisi dengan bahan yang akan dijadikan acuan membuat mata palsu, sama seperti kaedah membuat gigi palsu.

“Acuan ini kemudiannya akan digunakan untuk membuat mata palsu dengan saiz yang khusus untuk pesakit,” jelasnya.

Mengenai cara penjagaannya pula, menurut Dr Nurul Laila pengguna hanya perlu membersihkan prostesis mata dengan menggunakan air bersih selang beberapa hari.

Katanya, tidak seperti kanta lekap, mata palsu tidak perlu dibuka ketika tidur atau mandi, malah pemakaian sewaktu tidur penting kerana ia akan membantu fungsi bagi mengekalkan simetri wajah, dalam tempoh tidur yang panjang.

“Sekiranya ada ketidak selesaan, mata merah, atau berlendir, berjumpalah dengan doktor. Walaupun sudah tiada bola mata, namun, lapisan konjunktiva mata ini masih boleh dijangkiti kuman, serupa dengan mata yang normal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.