Maut langgar pembahagi tol

[email protected]

SHAH ALAM: Seorang lelaki maut apabila kenderaan dipandunya hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi tol di Plaza Tol Setia Alam, dari arah Setia Alam ke Shah Alam, petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang berumur 34 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Setia Alam menuju ke Shah Alam.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kenderaan Honda City itu hilang kawalan dan merempuh batu konkrit pembahagi tol di lorong tol Smart-tag (M05).

“Akibat daripada perlanggaran itu, mangsa tersepit di bahagian pemandu.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam bagi proses bedah siasat selepas keputusan ujian calitan COVID-19 diperoleh.

“Siasatan diteruskan bagi mengenal pasti punca kemalangan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APK) 1987,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JBPM Negeri Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya mengambil masa kira-kira 15 hingga 20 minit untuk mengeluarkan mangsa.

“Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat BBP Kota Anggerik menjalankan operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas seperti ‘hydraulic cutter’ dan ‘spreader,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar kenderaan mangsa yang rosak teruk di lokasi berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.