Bogota: Suami isteri di Colombia yang kematian bayi dalam kandungan kecewa mayat anak mereka digantikan dengan bangkai tikus besar.
Daniel Alejandro Jaramillo berkata, insiden itu berlaku selepas bayi mereka yang berusia 28 minggu dalam kandungan pasangannya, Jari Daniela Velez, maut akibat masalah jantung.
Kejadian itu ketika wanita terbabit dirawat di Hospital Tomas Uribe pada 13 Mei lalu.
Katanya, mereka kemudian mengunjungi bilik mayat untuk urusan pengebumian dan dokumen kematian.
Namun, terkejut apabila hanya menemui bangkai tikus dalam peti mayat milik anaknya.
Haiwan itu kemungkinan diletakkan pihak hospital itu bagi menggantikan mayat anak mereka yang tidak dapat ditemui.
Sepupu Jari, Majo Velez melaporkan kes itu ke pusat penjagaan kesihatan di laman Facebook.
“Pihak hospital memberi kami bangkai tikus, saya mahu mereka berikan mayat anak kecil itu,” tulisnya.
Pihak hospital memberikan reaksi dengan memohon maaf atas insiden itu.
“Kami meminta maaf atas apa yang berlaku dan bersedia membantu apa saja permintaan sebagai sebuah keluarga.
“Kami akan membuat siasatan dalaman mengenai kes ini,” kata kenyataan itu seperti dipetik New York Post.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Harian Metro