Menjelang sekatan pergerakan penuh, barangan keperluan di Labuan kehabisan stok

LABUAN: Kebanyakan kedai runcit di kawasan luar bandar kehabisan stok barangan keperluan berikutan pembelian panik susulan menjelangnya pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di beberapa bahagian di Labuan, yang akan berkuat kuasa, mulai Selasa ini.

Pengerusi Majlis Penduduk Labuan Mohd Dzulfaizal Abd Manan berkata dengan penutupan sementara kebanyakan pasar raya dan pasar raya besar (untuk kerja-kerja sanitasi COVID-19), pengguna tidak mempunyai pilihan selain menyerbu ke kedai runcit berdekatan, sekali gus mengakibatkan peruncit barangan perlu berdepan situasi kekurangan stok.

“Sekatan rentas negeri berterusan yang ketat di Sabah-Labuan-Sabah, yang mewajibkan pembawa barang menjalani ujian reaksi rantai polimerase (RT-PCR), sebelum memasuki Labuan, juga menyumbang kepada kekurangan stok barangan keperluan di pulau bebas cukai ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sekatan pergerakan penuh selama 14 hari, mulai 15 hingga 28 Jun depan membabitkan lokaliti di pusat bandar (kecuali Kompleks Taman Kewangan), Kampung Sungai Keling, Simpang Sahari, Kampung Bukit Kalam, perkampungan perairan Kg Patau-Patau 1 dan 2.

Selain itu, ialah Taman Perumahan Mutiara Sg Bedaun, Kampung Layang-Layangan, Kampung Durian Tunjong dan Kampung Tanjung Aru.

Dazulfaizal berkata antara barang keperluan yang kekurangan stok termasuk beras, minyak masak, telur dan gula.

Justeru, beliau menggesa masalah berkenaan diatasi dengan berkesan memandangkan kerajaan Persekutuan memberi jaminan bahawa bekalan barangan adalah mencukupi.

“Permintaan untuk barang-barang keperluan meningkat secara drastik bukan hanya disebabkan oleh penutupan banyak pasar raya dan pasar raya besar tetapi disebabkan sekatan pergerakan penuh di lapan kawasan penduduk yang padat, yang mengakibatkan kenaikan harga barang-barang itu,” katanya.

Antara pasar raya dan pasar raya besar masih ditutup (untuk kerja-kerja sanitasi COVID-19) sehingga hari ini ialah Pasaraya Milimewa, Pasaraya Emporium, Family Mart dan Pasar raya besar Bataras.

Pejabat cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Labuan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kekurangan bekalan minyak masak akan diatasi secara berperingkat mulai minggu depan.

Menurut kenyataan itu, pemborong minyak masak baru sahaja menerima bekalan dan akan diedarkan kepada peruncit secara berperingkat.

Tinjauan Bernama juga mendapati pengguna menghadapi kesukaran untuk mendapatkan gas memasak, sejak beberapa hari lepas. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.