MGB pertaruh projek rumah mampu milik

KUALA LUMPUR: MGB Bhd dijangka mencapai pertumbuhan perolehan dan pendapatan yang kukuh dalam tempoh dua tahun akan datang, sekurang-kurangnya, disokong oleh projek rumah mampu milik ‘Rumah Idaman’.

Pengerusinya, Datuk Abdul Majit Ahmad Khan, berkata kepakaran MGB dalam segmen ini menyaksikan perjanjian konsortium ditandatangani antara syarikat itu dengan PNSB Construction Sdn Bhd, anak syarikat kerajaan Selangor, untuk membangunkan projek sedemikian pada masa akan datang.

“Sehingga kini, MGB sudah menandatangani beberapa perjanjian dengan pemilik tanah untuk membina 3,814 unit Rumah Idaman, dan diberikan 3,396 unit oleh syarikat induk kami, LBS Bina Group Bhd.

“Rumah mampu milik itu akan menggunakan pra teknologi bangunan Sistem Binaan Berindustri (IBS),” katanya dalam laporan tahunan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 yang dikeluarkan hari ini.

Syarikat subkontraktor bangunan itu menyaksikan keuntungan bersihnya meningkat kepada RM13.95 juta pada tahun kewangan 2020 daripada RM13.49 juta pada tahun kewangan 2019, manakala hasil merosot kepada RM563.27 juta daripada RM756.15 juta sebelumnya.

Mengenai prospek pasaran hartanah, Abdul Majit berkata sektor itu dijangka mula pulih pada 2021, dirangsang oleh prospek yang lebih positif bagi ekonomi yang diunjurkan melantun semula kepada antara enam dan 7.5 peratus tahun ini.

“Melangkah ke hadapan, kami optimis sektor pembinaan akan mencatatkan pemulihan pendapatan pada 2021 berikutan rancangan kerajaan untuk memacu ekonomi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.