Misi buru pingat Olimpik Tokyo bermula

[email protected]

Kuala Lumpur: Misi memburu pingat di temasya Olimpik oleh skuad badminton negara bermula selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengesahkan aksi kelayakan ke temasya itu sudah ditutup.

Malaysia kini sudah boleh menarik nafas lega apabila mempunyai wakil dalam semua acara di temasya Olimpik Tokyo 2020.

Antara pemain yang melayakkan diri adalah perseorangan lelaki nombor satu negara negara, Lee Zii Jia, Soniia Cheah (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dalam acara beregu campuran.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, BAM akan mula merangka strategi untuk merealisasikan pingat di temasya berkenaan.

“Buat masa sekarang sasaran untuk mempunyai wakil dalam semua acara sudah berjaya. Sekarang ini kita kena cari jalan untuk misi dapatkan pingat.

“BAM akan mula membuat persiapan dengan memanggil semua atlet termasuk Chan Peng Soon-Goh Liu Ying untuk menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara,” katanya.

Selain itu Norza turut memaklumkan bahawa BAM akan memanggil Liew Daren untuk menjadi rakan sepelatih kepada Lee Zii Jia selain Tan Kian Meng-Lai Pei Jing untuk tujuan yang sama.

Terdahulu Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund mengumumkan secara rasminya sesi kelayakan tamat pada 15 Jun ini namun tiada lagi kejohanan untuk mata kelayakan akan dianjurkan dalam tempoh ini justeru ranking Race To Tokyo iaitu sistem kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak akan berubah.

Untuk rekod pencapaian terbaik negara di Sukan Olimpik ialah di Rio 2016 dengan meraih tiga pingat perak menerusi legenda negara, Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Peng Soon-Liu Ying.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.