Misi murni abang Chik dan Epit

[email protected]

Kuala Lumpur: Shahrol Mohamad dan adik angkatnya, Mohd Firdaus Abd Hamid bukan petugas barisan hadapan namun mereka sanggup mengambil risiko menguruskan jenazah walaupun dalam tempoh pandemik termasuk yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.

Lebih mengagumkan, mereka menawarkan khidmat itu secara sukarela dan percuma kepada mana-mana waris yang memerlukan perkhidmatan mereka khususnya di sekitar Lembah Klang tanpa mengira status sama ada golongan kurang berkemampuan, miskin, asnaf mahupun individu kenamaan (VIP).

Shahrol, 40, atau mesra di sapa Abang Chik berkata, khidmat itu ditawarkan menerusi pertubuhannya iaitu Sentuhan Setia Kasih yang berpusat di Kampung Medan, Petaling Jaya, Selangor.

Katanya, Sentuhan Setia Kasih ditubuhkan pada Oktober tahun lalu bersama Mohd Firdaus, 37, atau dikenali sebagai Epit yang bersamanya daripada awal hingga kini.

Menurut Shahrol, selain membantu waris, niatnya adalah untuk membalas jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang selama ini bertugas tanpa mengira masa dan kepentingan sendiri untuk menyempurnakan jenazah Covid-19.

“Idea menubuhkan pertubuhan ini tercetus selepas melihat satu pasukan pengurusan jenazah di Sandakan, Sabah membantu menguruskan jenazah bapa mentua saya yang meninggal dunia akibat masalah buah pinggang.

“Daripada situ, saya jadikannya inspirasi untuk menawarkan khidmat sama di Lembah Klang dan terus mulakannya pada Oktober lalu berbekalkan wang simpanan dan sumbangan rakan.

“Kebetulan, adik angkat saya, Epit juga berhasrat untuk turut serta dan ia menguatkan lagi semangat saya kerana Epit berpengalaman dalam hal pengurusan jenazah. Jadi kami bersatu meneruskan niat kami,” katanya kepada Metro Ahad.

Berkongsi pengalaman bertugas dalam tempoh pandemik, Shahrol berkata, setakat ini, dia dan Epit sudah menguruskan berpuluh jenazah.

Ia termasuk seorang warga asing selain 20 jenazah yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Shahrol berkata, dia dan Epit tidak mengambil mudah soal keselamatan sewaktu menguruskan jenazah pesakit Covid-19 sebaliknya mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pakaian perlindungan diri (PPE) walaupun ia panas serta tidak selesa.

Katanya, ada pegawai kesihatan bertugas turut memantau kerja dilakukan daripada awal hingga selesai pengebumian jenazah Covid-19 yang diakhiri dengan proses sanitasi.

“Setiap satu set lengkap PPE berharga RM90 dan sejak Oktober, kami sudah membeli 100 set.

“Di tanah perkuburan, selepas mengebumikan jenazah, kami akan membacakan talkin buat si mati.

“Sebelum beredar, kami akan lakukan sanitasi di atas kubur dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Walaupun tidak menerima atau mengenakan bayaran kepada waris, Shahrol dan Epit bersyukur kerana dapat membantu waris menguruskan jenazah.

“Kami memang tidak mengambil bayaran tetapi kepuasan yang kami dapat ialah, waris mendoakan kami. Ia membuatkan kami bersemangat untuk terus berbakti,” katanya.

Shahrol turut berdoa supaya ada pihak sudi mewakafkan van atau kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk kegunaan pertubuhannya.

Sementara itu, Epit berkata, dia sebelum ini bertugas sebagai penggali kubur dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan mengikut pasukan amal sukarelawan pengurusan jenazah lain selepas tamat kontrak.

Katanya, kira-kira 200 jenazah diuruskannya sewaktu terbabit dalam pasukan amal sukarelawan dan MBPJ manakala 150 sejak aktif dengan pertubuhan Sentuhan Setia Kasih.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    © New Straits Times Press (M) Bhd

  • Read More
    Sumber Web: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.