MITI digesa turun padang pantau syarikat sebelum beri kelulusan beroperasi

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) digesa bekerjasama dengan bahagian industri kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memantau syarikat yang memohon kebenaran beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh, sebelum memberi kelulusan.

Presiden Dewan Perniagaan Digital Malaysia (DPDM), Chris Daniel Wong berpandangan sedemikian ketika menyuarakan kebimbangan sekiranya terdapat syarikat bukan perkhidmatan penting memperoleh kelulusan untuk beroperasi.

“Kita telah mendapat berita ada perniagaan bukan perkhidmatan penting mendapat kelulusan beroperasi kerana menfailkan maklumat yang tidak tepat. Saya sarankan pihak MITI, sebelum memproses surat kelulusan itu supaya turun padang untuk pantau bagi memastikan sama ada pemohon itu dalam kategori perkhidmatan penting atau tidak.

“Contohnya, peniaga gunting rambut terpaksa akur untuk tutup perniagaan, tetapi pengilang seperti syarikat memproses kayu diberi kelulusan beroperasi. Saya tidak nampak kaitan syarikat itu sebagai perkhidmatan penting,” katanya semasa temu bual dalam program Ruang Bicara yang disiarkan Bernama TV, malam tadi.

Beliau berkata, menerusi situasi itu, rakyat boleh menilai ketelusan dan kesaksamaan MITI dalam memberikan kelulusan kepada syarikat perkhidmatan penting untuk beroperasi.

Setakat 7.30 pagi Khamis, sebanyak 128,150 syarikat membabitkan 1.57 juta pekerja memperoleh kelulusan untuk beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan pematuhan ketat prosedur operasi sSOP) baharu.

Dalam perkembangan sama, Wong menasihatkan syarikat yang memperoleh kelulusan beroperasi supaya memanfaatkan peluang itu dengan meluaskan perniagaan mereka ke pasaran eksport.

Beliau berkata, dalam usaha merancakkan ekonomi tempatan syarikat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak seharusnya hanya menumpukan pasaran domestik.

“PKS yang mendapat kelulusan untuk beroperasi harus manfaatkan peluang ini sebab ramai lagi yang tidak boleh beroperasi. Buat masa sekarang sudah banyak PKS gulung tikar terutama dalam sektor pelancongan dan pengurusan acara,” katanya.

Wong berpendapat kebanyakan PKS sudah bersedia untuk tidak beroperasi selama dua minggu sehingga sebulan, namun jika keadaan ini berterusan dan PKP 4.0 mungkin dikuatkuasakan, dijangka lebih 50 peratus PKS terpaksa menutup perniagaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.