Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.

Mohd Nazifuddin terima notis kebankrapan RM37.6 juta

KUALA LUMPUR: Anak Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd Nazifuddin menerima notis kebankrapan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana gagal melunaskan cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta seperti diputuskan Mahkamah Tinggi, Julai tahun lalu.

Peguam Wee Yeong Kang, yang mewakili Mohd Nazifuddin ketika dihubungi berkata, notis berkenaan diserahkan kepada anak guamnya pada 30 April lalu dan pihaknya memfailkan afidavit membantah notis kebankrapan itu pada 6 Mei lalu.

“Mohd Nazifuddin juga akan memfailkan satu lagi permohonan untuk mengenepikan notis itu dan bagi menangguhkan prosiding kebangkrapan sebelum 9 Jun ini. Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 21 Jun,” katanya selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ida Rahayu Sharif, hari ini.

Prosiding itu turut disertai Peguam Kanan LHDN, Al-Hummidallah Idrus dan Peguam LHDN, Athari Faris Ammerry Hussein bagi pihak LHDN.

Mengikut dokumen difailkan di mahkamah, kerajaan melalui LHDN memfailkan notis itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Februari lalu terhadap Mohd Nazifuddin, 38, selaku penghutang, hari yang sama notis kebankrapan difailkan terhadap bapanya.

Berdasarkan notis berkenaan, Mohd Nazifuddin perlu membayar RM37.6 juta dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 6 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) sehingga 4 Februari 2021 iaitu RM1.1 juta serta kos RM10,000 dan setakat tarikh itu, jumlah berkenaan menjadi RM38,758,370.93.

Najib, bekas Perdana Menteri, pula perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) sehingga 4 Februari lalu iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat tarikh itu, jumlahnya menjadi RM1,738,804,204.16.

Pada 6 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Mohd Nazifuddin perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 sehingga 2017 berjumlah RM37.6 juta, selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Mohd Nazifuddin memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan yang menetapkan 9 Ogos ini untuk mendengar rayuannya.

Mengikut Seksyen 103(2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar hutang itu perlu menjelaskan bayaran kepada LHDN walaupun memfailkan rayuan.

Oleh itu, LHDN memfailkan notis kebankrapan terhadap Mohd Nazifuddin kerana masih gagal membayar jumlah berkenaan sehingga kini. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.