Muhazani perlukan kaki palsu, kerusi roda

[email protected]

Sungai Besar: Kedua-dua kakinya kudung selepas dipotong akibat kencing manis tetapi Muhazani Abdul Rahman cekal menguruskan dirinya sendiri walaupun dengan hanya merangkak.

Kata duda berusia 42 tahun itu, dia perlu tabah melakukan semua aktiviti mengikut kemampuannya kerana enggan menyusahkan adik lelaki berumur 30-an yang tinggal bersama di rumah peninggalan orang tua mereka di Peket 60 di sini.

“Dalam kekangan ini, saya cuba juga buat sendiri seperti mandi dan basuh baju sendiri. Memang saya akui sangat sukar bergerak kerana saya tidak mempunyai kerusi roda elektrik atau kaki palsu.

“Saya harap sangat ada pihak yang prihatin tampil untuk membantu (sumbang keperluan itu),” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Muhazani berkata, orang tuanya sudah meninggal dunia akibat penyakit sama dan dia tinggal di rumah pusaka itu dalam serba kekurangan selepas dapur roboh dipukul ribut, baru-baru ini.

Katanya, simpanan yang dia ada hasil berniaga sayur di Kuala Lumpur dan Bangi, sebelum ini juga sudah habis digunakan bagi menampung kos rawatan di hospital.

Disebabkan itu, dia banyak bergantung kepada ihsan saudara, jiran dan rakan yang menghulurkan sumbangan untuk kehidupan harian.

“Saya mula menghidap kencing manis pada usia 20 tahun, tapi ketika itu saya tidak ambil peduli soal penjagaan kesihatan, sehingga keadaan makin serius tujuh tahun lalu, yang bermula dengan pemotongan lima jari kaki kiri.

“Tidak lama selepas itu, kaki kiri sehingga paras lutut perlu dipotong kerana bernanah. Saya ingatkan ia berakhir di situ, rupa-rupanya kaki kanan juga terjejas dan perlu dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman.

“Kini, saya perlu menjalani rawatan susulan setiap tiga bulan sekali di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam,” katanya yang reda dengan dugaan yang ditanggung itu.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1011041000072482 atas nama Muhazani Abdul Rahman atau menghubunginya di talian 017-2027201.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.