Muhyiddin gesa pihak berkuasa agama perbanyak program kesedaran vaksin Covid-19

Muhyiddin Yassin berkata, hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib oleh golongan yang ditetapkan pihak berkuasa.

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, menyeru pihak berkuasa agama negeri memainkan peranan dengan memperbanyakkan program kesedaran berhubung kepentingan vaksin Covid-19 kerana masih ramai yang tidak mendapat maklumat tepat mengenainya.

Katanya, usaha mempromosi dan menggalakkan pengambilan vaksin dalam kalangan umat Islam tidak seharusnya terhad kepada Putrajaya dan kerajaan negeri.

Beliau berkata, perkara itu turut dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) ke-68 pagi tadi yang disertai ketua kerajaan negeri dan ahli lantikan Yang di-Pertuan Agong secara maya.

“Saya berharap masyarakat mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya bahawa keputusan kerajaan dalam isu vaksin berpandukan keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Ke-10 yang bersidang pada 3 Dis 2020.

“Hukum mengenai penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil golongan yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.

Muhyiddin berharap, pihak berkuasa agama akan menggunakan semua platform untuk menguar-uarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan pematuhan SOP bagi mengelakkan penularan Covid-19 menjadi semakin tidak terkawal seperti di negara lain.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad, dilaporkan berkata penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukan perkara asing dalam perspektif syarak.

Terdapat banyak propaganda antivaksin yang antara lain mendakwa vaksin Covid-19 tidak halal.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.