KUALA LUMPUR: Bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir dan tujuh yang lain memberi keterangan lebih sejam di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini berhubung perhimpunan mendesak darurat ditamatkan hujung bulan lalu.
Selain Mukhriz, tujuh yang lain ialah Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abd Hadi, Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan, Asmaalif Abdul Adam, Khairuddin Abu Hassan dari Pejuang, ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali, ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei, Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia, Sharan Raj dan pengasas Undi18, Tharma Pillai.
Mukhriz berkata, kerajaan pimpinan Perikatan Nasional gagal menangani krisis Covid-19 dan ini dibuktikan dengan jumlah jangkitan meningkat melebihi 6,000 kes sehari.
“Kita juga dapat melihat darurat sama sekali tidak berjaya menangani virus itu,” katanya.
Beliau berkata, Parlimen mesti bersidang semula agar ada keseimbangan dalam memastikan apa saja keputusan dibuat kerajaan tepat untuk rakyat.
Peguam Syahredzan Johan yang turut hadir sebagai wakil pasukan peguam membantu lapan individu itu, berkata semua yang dipanggil memberikan kerjasama penuh kepada polis.
“Namun, secara prinsipnya, kami rasa tidak perlu polis mengambil keterangan kami kerana ia hanya perhimpunan aman. Mereka hanya menggunakan hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan.”
Perhimpunan #BukaPuasaParlimen pada 30 April lalu menyaksikan peserta mengadakan protes duduk sebelum berbuka puasa bersama.
Ia dianjurkan kumpulan belia yang mengemukakan enam tuntutan kepada kerajaan, termasuk menamatkan darurat supaya Parlimen boleh bersidang semula dan melaksanakan dasar Undi18.
Kes itu disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa notis.
Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)