Nak beli rokok punya pasal

[email protected]

Kota Bharu: Seorang pesakit Covid-19 yang dirawat di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di sini, cuba melarikan diri dari pusat berkenaan.

Kejadian yang berlaku sebelum Aidilfitiri itu bagaimanapun berjaya dikesan petugas PKRC dengan meminta pesakit lelaki berusia 30-an itu kembali ke katilnya semula.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, sebaik tindakan pesakit berkenaan dihalang oleh petugas, lelaki berkenaan memaklumkan mahu keluar untuk membeli rokok.

“Pesakit itu cuba keluar menggunakan laluan kakitangan. Itu adalah kes pertama di Kelantan setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melihat persediaan pembukaan PKRC Gelanggang Seni iaitu PKRC kelapan di sini, hari ini.

Dr Azman berkata, pesakit Covid-19 yang cuba melanggar peraturan termasuk lari daripada PKRC boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta 342 dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 24(a) iaitu penjara tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-dua mengikut akta sama.

Katanya, disebabkan kejadian itu, kakitangan yang bertugas sentiasa membacakan akta berkenaan supaya menjadi ingatan kepada pesakit Covid-19 yang berada di PKRC.

“Pada masa sama, setiap PKRC juga mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) yang memudahkan pihak kami memantau pergerakan pesakit,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Azman berkata, pihaknya juga mengesan terdapat pesakit Covid-19 yang hadir ke PKRC tidak mendedahkan sejarah penyakit yang dialami.

Katanya, kebanyakan mereka hanya mengatakan positif Covid-19 dan tidak mempunyai sebarang penyakit lain termasuk kencing manis.

“Ada kes pesakit mengatakan mereka hanya positif COVID-19 sebaik dibawa ke PKRC Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa, namun tidak sampai beberapa jam mereka terpaksa dibawa ke hospital kerana berlaku komplikasi akibat mempunyai sejarah penyakit.

“Jika perkara itu berlaku, ia akan menimbulkan kesusahan kepada banyak pihak dan kita berharap pesakit COVID-19 lebih berterus terang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.