Nama Timbalan KPN diumum tidak lama lagi

[email protected]

SHAH ALAM: Kementerian Dalam Negeri dijangka mengumumkan nama bakal Timbalan Ketua Polis Negara sebaik selesai melalui proses yang sepatutnya.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pelantikan jawatan kedua tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu perlu melalui beberapa proses.

“(Pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara) ada prosesnya. Nama-nama yang diberikan mesti melalui beberapa proses, proses itu pertama perlu melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP).

“Apabila Suruhanjaya Perkhidmatan Polis sudah bersetuju, kita akan minta hantar nama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Apabila Perdana Menteri bersetuju, kita akan persembahkan kepada Yang Dipertuan Agong, kemudian baru kita boleh umumkan,” katanya ketika diminta mengulas pelantikan berkenaan susulan pengumuman ketua-ketua jabatan di Bukit Aman, semalam.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi.

“Itu kita tunggu. Dalam masa seminggu dua insya-Allah,” katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan sekatan jalan raya di Plaza Tol Bukit Jelutong menghala ke Shah Alam, di sini, petang tadi.

Selain SJR Bukit Jelutong, beliau juga turut meninjau SJR Tol Subang arah masuk di Petaling Jaya dan SJR Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur (Brickfield).

Terdahulu, media melaporkan PDRM mengumumkan lapan nama mengetuai lapan jabatan pasukan itu.

Antaranya adalah Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas, Bukit Aman.

Jawatan Pengarah JIPS pula bakal diambil alih Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Azri Ahmad, manakala Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din, dilantik Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Bukit Aman, menggantikan Datuk Zainal Abidin Kasim, yang dilantik Pengarah Jabatan KDNKA.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.