Naomi tarik diri Terbuka Perancis

Paris: Pemain nombor dua dunia, Naomi Osaka menarik diri daripada Terbuka Perancis susulan kontroversi keengganannya bercakap kepada media di kejohanan itu.

Dalam Twitternya awal pagi tadi, bintang Jepun itu turut menjelaskan dia berdepan ‘tekanan berpanjangan’ sejak menjuarai Grand Slam pertamanya pada 2018.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata minggu lalu dia tidak akan membuat sidang akhbar di Roland Garros bagi melindungi kesihatan mentalnya.

“Saya tak pernah mahu menjadi pencetus masalah dan saya terima tindakan saya ini mungkin tidak sesuai tetapi mesej saya adalah jelas,” kata juara empat kali Grand Slam dalam kenyataannya.

“Saya berdepan tekanan berpanjangan sejak menjuarai Terbuka Amerika Syarikat 2018 dan saya benar-benar bergelut mengatasinya.”

Pada Ahad lalu dia dikenakan denda AS$15,000 (RM62,000) apabila enggan menyertai sidang akhbar selepas menang pusingan pertama.

Namun, kenyataan bersama daripada penganjur Grand Slam pada hari yang sama berkata Naomi akan disingkirkan daripada kejohanan jika dia terus mengelakkan diri daripada bertemu media dan awal pagi tadi pemain itu mengumumkan penarikan dirinya dengan berkata dia akan berehat seketika daripada tenis.

“Apabila tiba masa sesuai saya akan bekerjasama dengan Jelajah bagi membincangkan kaedah lebih baik kepada pemain, media dan penyokong,” kata Naomi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.