‘Ngeteh’ punca jangkitan

Kuantan: Perhimpunan tanpa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan rentas negeri menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan kes positif Covid-19 di Pahang, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah.

Beliau berkata, ada yang melakukan majlis perkahwinan, tahlil atau hari jadi semasa cuti sekolah pada penghujung Mac lepas dengan Pahang ketika itu berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Ada yang berhimpun sebelum atau selepas solat atau aktiviti keagamaan yang akhirnya membawa kepada penularan wabak ini sedangkan SOP sudah disediakan bagi semua aktiviti ini,” katanya, semalam.

Katanya, aktiviti ‘ngeteh’ juga menyumbang kepada penularan wabak berkenaan dengan sikap alpa masyarakat yang duduk secara rapat sambil membuka pelitup muka.

“Sama seperti rentas negeri, ada keluar negeri dan bawa pulang virus. Jika rentas negeri dengan pematuhan SOP, ia tidak seharusnya membawa masalah khususnya bagi urusan kerja. Tetapi dilihat masih ada yang bersalaman walaupun tahu orang itu dari atau berada di kawasan zon merah,”

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Pahang setakat kelmarin ialah 8,649 kes dengan 6,930 sudah sembuh, selain 52 kematian direkodkan.

Dr Bahari berharap kes baharu akan berkurangan dalam tempoh dua minggu lagi, mengambil kira pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) yang kini berkuat kuasa di sebahagian besar Kuantan selain di Bera, Temerloh, Jerantut dan Raub.

Beliau juga merayu semua penduduk dalam kawasan PKPD khususnya di Kuantan agar kekal ‘berkurung di rumah’ bagi mengelak penularan dalam komuniti kerana berkemungkinan ada antara individu tidak tahu dijangkiti wabak itu ekoran tidak mempunyai gejala pada peringkat awal.

“PKPD perlu dilakukan bagi mengurangkan kes sporadik kerana peningkatan kes di kawasan terlibat menunjukkan kawalan dalam komuniti tidak berjalan. Ini lebih membimbangkan berbanding kes dalam kluster yang sudah dalam radar pengetahuan kita,” katanya.

Mengulas kemudahan hospital bagi pesakit Covid-19, Dr Bahari berkata, selain Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh dan Hospital Kuala Lipis, pihaknya juga menempatkan pesakit yang tidak memerlukan rawatan pakar di Hospital Jengka, Maran; Hospital Muadzam Shah, Rompin dan Hospital Raub.

Dalam pada itu, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) yang beroperasi ialah Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia di HTAA semuanya di Kuantan, selain Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) di Bentong.

“Pada masa ini, keadaan penggunaan kemudahan kesihatan adalah dalam keadaan getir dan memerlukan kerjasama semua masyarakat supaya jumlah kes tidak terus meningkat agar kita dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.