Nikmati kebebasan jika selesai divaksin di Jerman

BERLIN: Individu yang divaksinasi sepenuhnya terhadap COVID-19 dikecualikan daripada kebanyakan larangan di Jerman mulai hari ini.

Ia susulan tindakan kerajaan meluluskan undang-undang baharu untuk mengembalikan kebebasan bagi mereka yang mematuhi perintah kawalan coronavirus itu.

Mengikut peraturan baharu, perintah berkurung dan had hubungan sosial tidak lagi terpakai kepada mereka yang diberi vaksin sepenuhnya, membabitkan lebih tujuh juta orang, atau mereka yang sudah pulih daripada jangkitan.

Mereka juga tidak perlu lagi menunjukkan hasil ujian negatif untuk mengakses perkhidmatan tertentu seperti mendandan rambut rambut dan temu janji beli belah.

Mereka yang pulang ke Jerman dari luar negara tidak perlu menjalani tempoh kuarantin kecuali jika tiba dari negara yang dianggap berisiko tinggi.

Namun, mereka tetap diharuskan mematuhi penjarakan sosial dan kebersihan seperti memakai topeng di kedai serta ketika menggunakan pengangkutan awam.

Ketika mengumumkan langkah terbabit minggu ini, Menteri Kehakiman, Christine Lambrecht, berkata perlu ada alasan yang baik untuk terus mengenakan sekatan terhadap kehidupan awam.

“Sebaik saja alasan itu tidak terpakai lagi …maka sekatan ini seharusnya tidak lagi berlaku,” katanya.

Dalam tinjauan stesen penyiaran RTL, 64 peratus orang Jerman menyokong jika negara itu membuka semula hotel, restoran, teater dan pawagam untuk individu yang diberi vaksin.

Datuk Bandar Berlin, Michael Mueller, mengakui bahawa sukar untuk memeriksa sama ada seseorang dikecualikan daripada peraturan atau tidak.

Mueller menasihatkan orang ramai membawa bukti vaksinasi bersama mereka sehingga pasport vaksinasi digital yang dirancang oleh Kesatuan Eropah (EU) siap. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.