NPRA sahkan tak ramai alami kesan sampingan serius vaksin, kata menteri

Hanya 0.09 bagi setiap 1,000 dos yang disuntik diklasifikasikan sebagai kes AEFI serius yang memerlukan rawatan susulan atau rawatan di hospital,’ kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

PUTRAJAYA: Kadar laporan kesan sampingan atau kesan ‘advers’ ubat akibat suntikan vaksin Covid-19 di Malaysia amat rendah dan tidak membimbangkan, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Beliau turut mengesahkan, secara purata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menerima kira-kira 2.4 laporan kesan ‘advers’ selepas imunisasi (AEFI) bagi setiap 1,000 dos vaksin Covid-19 yang diberikan kepada penduduk di negara ini.

Katanya, daripada laporan berkenaan hanya 0.09 bagi setiap 1,000 dos yang disuntik diklasifikasikan sebagai kes AEFI serius yang memerlukan rawatan susulan atau rawatan di hospital.

“Data daripada sistem pemantauan AEFI dalam aplikasi MySejahtera menunjukkan setakat 12 Jun, aplikasi itu menerima 29.3 laporan AEFI biasa atau minor bagi setiap 1,000 dos yang disuntik.

“Kesan sampingan yang dilaporkan adalah rasa sakit di kawasan suntikan, sakit kepala, keletihan dan sebagainya, yang merupakan kesan sampingan biasa setelah menerima vaksin,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin secara maya.

Mengulas lanjut, Adham berkata kebanyakan kes AEFI yang memerlukan rawatan lanjut atau rawatan di hospital hanya ditempatkan di wad untuk jangka masa pendek dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan dan pemantauan sewajarnya.

Dalam pada itu, Adham mengesahkan kerajaan sudah mewujudkan tiga jawatankuasa khas bagi menilai jumlah pampasan akan diberikan kepada individu mengalami kesan sampingan serius selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin dengan dana permulaan RM10 juta bagi tujuan pampasan untuk individu yang mungkin mengalami kesan sampingan selepas imunisasi.

Berikutan itu, penerima vaksin yang mengalami kesan sampingan serius sehingga terpaksa dirawat di hospital boleh mendapat sehingga RM50,000, manakala mereka yang mengalami kecacatan kekal atau kematian pula boleh mendapat RM500,000 menerusi dana diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.