SEREMBAN: Pasukan bola sepak wanita Negeri Sembilan (NS) berazam untuk menguasai pentas saingan Piala Tun Sharifah Rodziah musim ini selepas tidak beraksi sepanjang dua musim lalu.
Pengurus pasukan itu, Victoria Valerie Boudeville berkata kejohanan itu sepatutnya membuka tirainya pada Sabtu ini tetapi terpaksa ditangguhkan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami membuat persiapan sejak akhir tahun lalu dengan menyenaraikan 23 pemain termasuk tiga pemain berpengalaman kebangsaan yang didatangkan dari Sabah selain anak jati Negeri Sembilan.
“Mereka diberikan bimbingan dua jurulatih iaitu Sam Ampuling dan Adam Suleiman. Namun disebabkan PKP ini, mereka diarah hanya menjalani latihan secara sendirian di rumah atau asrama masing-masing.
“Usaha itu untuk memastikan tahap kecergasan setiap pemain tidak terjejas sebagai persiapan terbaik apabila tarikh baharu kejohanan diumumkan kelak,” katanya di sini, hari ini.
Pada peringkat awal saingan, NS bakal bersaing di peringkat kumpulan Zon Selatan yang membabitkan Melaka, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian