NUTP minta tangguh program ganggu PdPR

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan (KPM) menilai semula pelaksanaan beberapa program yang boleh mengganggu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, berkata program itu termasuk Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25), Pelaksanaan Penarafan Sekolah Peluasan yang membudayakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Perancangan Strategik Organisasi (PSO) Pembudayaan KBAT.

Pelaksanaan Kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); Pelaksanaan Dialog Prestasi, Pelaksanaan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) dan Pelaksanaan Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP).

“KPM perlu menilai semula pelaksanaan program berkenaan kerana ia akan menambah beban serta mengganggu tumpuan guru ketika melaksanakan PdPR,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kaedah PdPR akan dilaksanakan selama 25 hari persekolahan bermula 13 dan 14 Jun mengikut kumpulan negeri masing-masing.

Pembukaan sekolah pada 13 Jun membabitkan negeri kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala pada 14 Jun pula membabitkan negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Ketetapan yang berkuat kuasa semalam itu bukan saja merangkumi sekolah kerajaan, malah turut membabitkan sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang mendaftar dengan KPM.

Harry Tan berkata, pendidik perlu memberi tumpuan penuh kepada PdPR kerana murid dan guru dilihat masih belum mendapat pendidikan yang sempurna sejak pandemik COVID-19 berikutan PdP secara bersemuka kerap tergendala.

“Apabila berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berterusan, sudah tentu murid yang akan ketinggalan kerana tidak dapat akses kepada guru,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan pelaksanaan program yang sudah disusun atur itu, namun ketika ini NUTP berpandangan perlu memberi tumpuan kepada pendidikan terlebih dahulu.

“Fokus utama pendidikan ketika negara masih bertungkus lumus membendung penularan COVID-19 adalah dengan memperkukuhkan lagi pelaksanaan PdPR dengan membuat perancangan yang lebih berstruktur dan tersusun,” katanya.

Justeru, Harry Tan berkata, NUTP meminta program lain ditangguhkan buat sementara waktu dengan memberi ruang kepada guru memberi tumpuan penuh bagi menambah baik PdPR.

Katanya, kejayaan pelaksanaan PdPR penting ketika ini supaya tiada murid tercicir atau ketinggalan dalam pendidikan terutama yang berada di kawasan pedalaman dan kurang berkemampuan.

“Penerimaan dan keberkesanan PdPR terhadap murid perlu dijadikan perkara paling utama dalam pendidikan ketika ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.