Pacu ekonomi negara melalui keusahawanan sosial lestari

[email protected]

Usahawan sosial atau social enterprise (SE) adalah sebuah organisasi yang selain menfokuskan keuntungan, juga memberi impak kepada sosial dan alam sekitar.

Sejak kebelakangan ini, kita dapat melihat banyak organisasi mahupun usahawan sosial menghulurkan bantuan kepada masyarakat setempat yang memerlukan dan alam sekitar dalam mendepani kemelut pandemik.

Ia memperlihatkan peranan keusahawanan sosial dalam menyokong usaha kerajaan meringankan beban masyarakat, terutama yang terkesan dengan COVID-19.

Jika dirujuk Garis Panduan Akreditasi Perusahaan Sosial (SE.A) dibangunkan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), sesebuah perusahaan sosial hendaklah memperuntukkan 51 peratus keuntungan dalam melaksanakan matlamat sosial dan alam sekitar, atau mewujudkan dasar pengambilan pekerja dalam kalangan mereka tidak berkemampuan.

Bagi perusahaan sosial, golongan ini perlulah menyatakan komitmen terhadap matlamat memberi impak kepada sosial atau alam sekitar dengan memberi sumbangan dalam model perniagaan mereka sekurang-kurangnya 35 peratus.

Oleh itu, secara jelas keusahawanan sosial mempunyai peranan besar dalam membantu kerajaan meringankan beban setiap lapisan masyarakat terkesan.

Namun, adakah bantuan ini akan berterusan dan memberikan manfaat lestari kepada penerima dan juga organisasi dalam membangunkan ekonomi negara secara keseluruhannya? Adakah bantuan terbabit juga dapat dipanjangkan kepada semua yang memerlukan?

Isu ini mungkin tidak kita fikirkan, asalkan organisasi terbabit sudah pun berusaha membantu yang memerlukan.

Namun, mustahak dipastikan bantuan diberikan bukan hanya dipanjangkan kepada semua yang memerlukan, tetapi memberi manfaat dalam jangka masa panjang serta membantu pembangunan ekonomi yang lestari.

Oleh itu, strategi yang baik harus diatur usahawan sosial dalam memastikan kelestarian perniagaan sendiri dan pembangunan ekonomi masyarakat yang dibantu.

Usahawan sosial haruslah memastikan penerima bantuan dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik dari segi ekonomi dan sosial.

Selain mempunyai model bisnes yang baik, organisasi berkenaan perlulah mempunyai instrumen dalam mengukur keberkesanan hasil bantuan diberikan terhadap kelestarian pertumbuhan ekonomi dan keupayaan penerima bantuan bertahan dalam jangka masa panjang selepas pandemik berakhir.

Pembangunan ekonomi penerima bantuan juga perlu diberi keutamaan bagi memastikan objektif keusahawanan sosial ke arah matlamat pembangunan lestari (SDGs) tercapai.

‘Digital Scoreboard’ atau papan skor digital antara usaha menambah baik operasi keusahawanan sosial, bagi memastikan kelestarian terhadap modus operandi, struktur, pelaporan dan pemantauan aktiviti keusahawanan sosial secara lestari terutamanya dalam mendepani kesan pandemik di negara kita.

‘Papan skor’ antara instrumen paling berkesan yang meluas diguna syarikat besar dan terkenal dalam serta luar negara. Namun, ia masih belum diguna pakai organisasi usahawan sosial, mahupun badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia dalam membuat penilaian terhadap keberkesanan bantuan kepada organisasi, penerima bantuan dan juga pembangunan negara secara keseluruhannya.

Jika dilihat, kerajaan sebelum ini menunjukkan sokongan baik terhadap penggunaan digitalisasi dalam perniagaan melalui pelancaran Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

RM700 juta diperuntukkan bagi pembangunan platform perniagaan digital menerusi pemberian geran dan pinjaman kepada syarikat berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta syarikat peringkat pertengahan untuk menerapkan penggunaan teknologi digital dalam operasi dan saluran perdagangan mereka.

Tidak mustahil, ia juga dapat dipanjangkan kepada usahawan sosial di Malaysia dalam menambah baik operasi mereka dengan mengaplikasikan elemen digitalisasi melalui papan skor digital.

Semoga strategi penambahbaikan kepada aktiviti keusahawanan sosial ini dapat memastikan usaha membantu lapisan masyarakat terkesan pandemik mencapai objektif kelestarian dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara.

Keusahawanan sosial mempunyai potensi besar untuk menjadi pemacu ekonomi baharu di Malaysia dengan mengenal pasti strategi terbaik dalam penambahbaikan aktiviti keusahawanan sosial yang lestari.

Penulis adalah Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.