Pagi harga lain, petang harga lain

[email protected]

KUALA LUMPUR: Majoriti peniaga daging di pasar utama di ibu negara tidak menjual bahan makanan itu mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 yang ditetapkan iaitu RM34 sekilogram.

Kebanyakan menjual daging tempatan antara RM36 hingga RM40 sekilogram mengikut jenis.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, peniaga hanya menjual daging tempatan pada harga RM34 ketika waktu pagi iaitu sewaktu pemantauan dilakukan oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengelakkan dikenakan tindakan.

Namun, harga itu berubah didakwa berdasarkan harga pasaran selepas anggota penguat kuasa beredar, khususnya pada waktu petang.

Penyelia prosedur operasi standard (SOP) Pasar Raja Bot di Chow Kit, Mustafa Arbaie, 50, berkata sekurang-kurangnya tiga anggota penguat kuasa KPDNHEP akan melakukan pemeriksaan setiap hari pada waktu pagi namun sehingga kini pihaknya dimaklumkan tiada peniaga dikenakan tindakan.

“Semua peniaga patuh pada harga RM34 kerana tiada yang dikenakan tindakan oleh KPDNHEP namun selalunya pada waktu petang ‘acara bebas’ (harga diubah), ” katanya kepada BH, di sini.

Tinjauan di Pasar Raja Bot mendapati hanya segelintir kecil peniaga yang terus mengekalkan harga daging tempatan mengikut SHMMP sebaliknya sebahagian besarnya mengubah menjual mengikut harga pasaran.

Peniaga, Mohd Fadhil Yahya, 48, berkata pihaknya tidak boleh menjual daging tempatan pada RM34 sekilogram kerana ia adalah harga kos yang tidak mendatangkan keuntungan.

Katanya, dia menjual daging tempatan pada harga RM38 sekilogram namun bagi bahagian lain seperti tetel dan lemak ia dijual pada harga lebih rendah iaitu sekitar RM18.

“Memanglah lembu yang datang itu dijual pada harga RM31 namun kena fikir itu tak termasuk tolak kulit, najis dan beberapa bahagian yang menyebabkan daging tidak boleh dijual pada harga RM34.

“Kebiasaannya, dalam seekor lembu itu 15 hingga 20 peratus adalah bahan buangan yang tidak boleh dijual, itu belum lagi beberapa bahagian lain yang harus dijual pada harga lebih murah daripada RM34.

“Jadi kerajaan kena fikirlah, takkan kita nak jual pada harga kos kerana bukan semua bahagian lembu itu boleh dijual pada harga RM34,” katanya.

Peniaga daging, Mohd Hibri Saini, 32, pula berkata harga yang dijual di gerainya adalah mengikut harga pasaran iaitu antara RM36 hingga RM50 bagi jenis batang pinang dalam.

“Kalau jual RM34 tiada untunglah, setakat ini tiada pihak yang ‘kacau’ pula, tapi kami memang ikut harga pasaran sahaja,” katanya.

Begitu juga dengan peniaga, Farouq Haqnavaz, 33, yang menyifatkan kos pembelian lembu adalah tinggi kerana harga makanan haiwan itu yang semakin naik menyebabkan ramai peniaga tidak boleh menjual pada harga RM34.

Selain itu, pihaknya juga terpaksa memikirkan kos tambahan lain seperti gaji pekerja dan sewa tapak gerak untuk menampung harga berkenaan.

“Kerajaan pun tidak jelaskan daging jenis apa yang maksimum RM34 itu sebab ada pelbagai jenis, kalau daging paha itu boleh cecah RM40 sekilogram,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.