Pandelela raih emas kejohanan dunia

Pandelela Rinong meraih pingat emas dalam acara 10m platform individu di Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Tokyo, sebentar tadi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pandelela Rinong mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas acara 10m platform individu di Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Tokyo, sebentar tadi.

Beliau meraih 355.70 mata, sekaligus meletakkannya di tempat terunggul dalam acara tersebut.

Tempat kedua diduduki penerjun tuan rumah Matsuri Arai dengan 342.00 mata, dan Caeli McKay dari Kanada di tempat ketiga dengan 338.55 mata.

Dengan kemenangan ini, Pandelela menjadi penyumbang tunggal pingat bagi kontinjen Malaysia di kejohanan lima hari yang akan berakhir esok.

Terdahulu, seorang lagi wakil negara dalam acara berkenaan, Cheong Jun Hoong, melayakkan diri ke Sukan Olimpik dalam acara berkenaan selepas mara ke separuh akhir semalam, namun terkandas di pusingan tersebut.

Beliau hanya menduduki tempat ke-18 dengan 237.35 mata.

Pandelela dan Jun Hoong sedang dalam persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini.

Selain warganet lain, Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican turut mengucapkan tahniah kepada Pandelela di media sosial.

“Kejayaan ini terus menyemarakkan semangat kita semua sebelum acara yang terbesar tahun ini. So so proud of you Pandelela (sangat berbangga dengan kamu Pandelela),” kata beliau menerusi catatan di Twitter.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.