PENUBUHAN Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) dalam usaha untuk merealisasikan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 tepat pada masanya, terutama dalam keadaan kita berhadapan kemungkinan gelombang keempat penularan COVID-19.
Perlu ditekankan WKB 2030 dilancarkan ketika COVID-19 belum melanda dunia. Oleh itu, cabaran ekonomi dan sosioekonomi dikemukakan dalam dokumen itu, tidak dinafikan perlu dikaji semula.
Ini memerlukan beberapa rombakan terutama dari segi dasar dan strategi untuk mencapai objektif disasarkan. Oleh itu, kemungkinan ada beberapa sasaran, indikator makro dan mikro, petunjuk prestasi utama (KPI) serta langkah strategik, sama ada perlu disesuaikan atau diperkenalkan dan dilancarkan semula.
Antara yang perlu ditangani dalam konteks pandemik dan pasca pandemik, berkenaan usaha merangsang kembali momentum pertumbuhan ekonomi serta hasil negara dalam jangka sederhana dan panjang secara adil dan saksama.
Hal ini supaya pendapatan tambahan dapat disalur dan dinikmati mereka betul-betul memerlukan serta begitu terjejas akibat pandemik ini. Ini sejajar dengan falsafah kemakmuran bersama itu sendiri seperti dijelaskan Bank Dunia.
Baru-baru ini, timbul kontroversi apabila kerajaan menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk menangani cabaran COVID-19.
Sebenarnya, ini tindakan wajar kerana ketika ini, kita memang berada dalam keadaan sukar luar biasa dan tidak pernah berlaku dalam sejarah. Jadi, pendekatan whatever it takes diperlukan dalam keadaan sebegini.
Namun, apa lebih penting adalah bagaimana kerajaan bukan sahaja akan menampung kembali dana KWAN, bahkan meningkatkannya pada masa hadapan.
Di sinilah, kepentingan WKB 2030 dalam merencana dasar dan strategi baharu luar biasa untuk menangani keadaan luar biasa kita alami ketika ini. Sasaran kadar pertumbuhan pada 4.7 peratus secara purata pada 2021 hingga 2030 dalam dokumen WKB 2030 tidak mencukupi untuk hal ini.
Begitu juga peningkatan dalam kadar defisit fiskal dan hutang negara. Isunya bukan sebanyak mana kadar defisit dan hutang negara kita, tetapi apakah langkah serta strategi baharu akan diperkenalkan kerajaan supaya kadar defisit dan hutang dapat diturunkan atau dikawal pada masa hadapan.
Saya percaya apabila agensi penarafan antarabangsa yakin dengan dasar baharu untuk memacu pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan, mereka tidak akan menurunkan taraf ekonomi kita kerana apa yang penting sebenarnya keupayaan kita untuk membayar hutang terbabit pada masa hadapan.
Peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi bukan sahaja dapat mengurangkan kadar defisit dan hutang negara, bahkan meningkatkan hasil negara. Dalam konteks ini, isu mengenai reformasi cukai perlu diletakkan dalam strategi WKB 2030.
Maksudnya, melihat kepada kebarangkalian untuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula. Sememangnya GST tidak sesuai diperkenalkan pada ketika ini. Namun, ia perlu diperkenalkan semula dalam masa WKB 2030 ini – mungkin pada 2023 atau 2025.
MTKB perlu membincangkan isu ini lebih mendalam dan mempelajari kelemahan pelaksanaan sistem cukai GST pada masa lalu. Ia boleh dijadikan KPI utama dalam WKB 2030 pada masa hadapan.
Dalam usaha mengurangkan jurang kekayaan dan pendapatan sejajar objektif WKB 2030, bentuk cukai progresif juga boleh diperkenalkan seperti cukai untung luar biasa, cukai keuntungan modal (CGT) dan cukai harta pusaka.
Jelas, akibat pandemik COVID-19, ramai hilang pekerjaan dan perniagaan, manakala keuntungan serta pendapatan berkurangan.
Selain mengemas kini program pemberian tunai langsung dan memperbaiki kadar gaji minimum, kerajaan juga boleh memperkenalkan kadar upah wajar atau upah setakat cukup hidup dan dasar pendapatan asas sejagat.
Selain itu, antara cabaran utama dalam konteks pandemik COVID-19 adalah isu pekerjaan. Oleh itu, MTKB juga boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan dasar jaminan pekerjaan pada masa hadapan.
Dasar ini sudah diperkenalkan di beberapa negara maju dan negara sedang membangun yang mungkin boleh dijadikan contoh di negara ini.
Pekerjaan diwujudkan pada masa hadapan juga perlu setimpal kelayakan pekerja untuk mengelakkan isu underemployment.
Jika tidak ditangani dengan tuntas, akan menimbulkan pelbagai masalah sosial dan psikologikal kepada masyarakat kita, terutama generasi muda pada masa hadapan.
Ada pelbagai lagi isu struktur dan cabaran memerlukan dasar serta strategi komprehensif agar objektif WKB 2030 dapat dicapai dalam konteks kita berhadapan pandemik ini.
Begitu juga persediaan ekonomi dan masyarakat kepada era pasca pandemik COVID-19. Antaranya, pemerkasaan sistem kesihatan, reformasi kepada sistem pendidikan, pengukuhan dalam sistem pasaran buruh dan pembangunan modal insan menyeluruh.
Ini memerlukan reformasi dalam model ekonomi itu sendiri supaya ia lebih berteraskan kepada produktiviti dan inovasi, digitalisasi dan teknologi, serta kelestarian dan keterangkuman. Semua ini penting bukan sahaja supaya ekonomi kita dapat kekal berdaya tahan dalam mengemudi cabaran pandemik ini, tetapi juga berdaya saing untuk menghadapi cabaran pasca pandemik COVID-19 yang akhirnya, dapat mengeluarkan ekonomi kita daripada masalah perangkap pendapatan pertengahan pada masa hadapan.
Kita sudah mendengar pelbagai nasihat dan cadangan daripada beberapa institusi antarabangsa seperti Bank Dunia ataupun Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai bagaimana cara terbaik untuk ekonomi negara bergerak kehadapan. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita mempelajari daripada sejarah ekonomi kita sendiri untuk menuju kehadapan.
Pensyarah Ekonomi, Universiti Utara Malaysia
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian