Parti Arab Israel sertai gabungan bentuk kerajaan

BAITULMUQADDIS: Parti yang mewakili warga Arab Israel, menyertai gabungan Israel buat pertama kali untuk menubuhkan kerajaan, namun ramai pihak tidak yakin langkah itu mampu mengakhiri peminggiran politik, selama berdekad-dekad di Israel.

Ketua parti konservatif Islam Raam, Mansour Abbas, menandatangani perjanjian menyertai gabungan itu pada Rabu, dengan hasrat menyingkirkan Perdana Menteri Israel paling lama berkhidmat, Benjamin Netanyahu.

Gambar Mansour yang berketurunan Palestin di meja rundingan bersama pemimpin haluan tengah, Yair Lapid dan nasionalis haluan kanan, Naftali Bennett, menjadi saat bersejarah dan tersebar luas di media sosial.

Mansour yang menjadi Ahli Parlimen Israel sejak 2019, jelas gembira dengan perkara itu melalui ucapan pada Khamis, yang didengari menerusi radio tentera Israel.

“Kami memperoleh mandat untuk mempengaruhi sistem politik Israel dan bukan sekadar berada dalam Knesset (Parlimen Israel).

“Ini membuka ruang kepada kami untuk mempengaruhi dasar dan keputusan untuk manfaat rakyat negara ini, khususnya warga Arab,” katanya.

Pada 1992, ketika rundingan damai dengan Palestin berjalan, Ahli Parlimen Arab Israel menyokong gabungan Parti Buruh dari luar, namun tidak terbabit dalam rundingan berkenaan.

Warga Arab Israel yang berketurunan Palestin, kekal di tanah masing-masing apabila Israel diwujudkan pada 1948, merangkumi 20 peratus daripada penduduk Israel.

Mereka kerap membangkitkan aduan berhubung diskriminasi dan dilayan seperti warga kelas kedua.

Ketika konflik terbaharu Palestin-Israel tercetus, warga Arab Israel turut mengadakan tunjuk perasaan buat pertama kali, sebagai solidariti dengan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza yang terkepung, dan Tebing Barat yang diceroboh. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.