Pasang panjut ceriakan ibu derita angin ahmar

[email protected]

BOTA: Bermula minggu kedua Ramadan sejak tujuh tahun lalu, Nor Mohd Zakri Badarudin dan adik beradiknya akan menghias halaman rumah ibu mereka dengan ratusan panjut atau pelita buluh.

Nor Mohd Zakri, 36, berkata, ia dibuat saban tahun bagi menggembirakan ibu mereka, Hasiah Ngah Bidin, 67, selain mewujudkan kemeriahan suasana Aidilfitri ketika pandemik COVID-19.

Beliau berkata, tahun ini mereka memasang 231 panjut dan memperuntukkan RM35 sehari untuk membeli diesel sebagai bahan bakar.

“Kami mahu ibu gembira terutama selepas dia diserang angin ahmar sebelah kanan badan sejak setahun lalu dan sekali gus dapat mengurangkan kesedihan kerana kakak kedua yang tinggal di Klang, Selangor tidak dapat pulang beraya.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak melunturkan semangat kami dan panjut ini membantu menceriakan mood Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di Kampung Teluk Kepayang, Bota sempena pertandingan hiasan panjut peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota, malam tadi.

Pertandingan itu yang bermula sebelum PKP mula dikuatkuasakan hari ini, menyaksikan Nor Mohd Zakri dipilih sebagai juara dan membawa pulang wang tunai RM500, manakala tempat kedua, Zaini Ibrahim, 58, dan Khalid Itam, 68, (RM300) dan ketiga Mohd Hayazi Mohd Nor (RM200).

Nor Mohd Zakri berkata, pemasangan panjut juga sekali gus dapat mengeratkan hubungan keluarga.

“Kami mula membuat arca dan hias panjut pada minggu kedua berpuasa dan saling bekerjasama melakukan semua kerja, malah empat anak saya juga turut membantu.

“Saya mahu ia menjadi tradisi keluarga kami dan tidak mengapa jika banyak kerja perlu dilakukan asalkan ibu gembira, kami akan usahakan,” katanya memberitahu menyertai pertandingan itu hanya untuk suka-suka saja.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed berkata, pertandingan yang memasuki tahun ketiga itu mendapat 50 penyertaan.

“Objektif utama pertandingan ini adalah untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama antara ahli keluarga selain mengindahkan rumah serta memberikan semangat Aidilfitri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.