Pasar Harian Selayang kini berwajah baru…

Kuala Lumpur; Persekitaran lebih bersih, moden dan selesa kepada peniaga dan pengunjung. Itu keadaan Pasar Harian Selayang Kuala Lumpur di sini, yang memulakan operasi perniagaan sepenuhnya di bangunan baharu mulai semalam.

Tinjauan ke pasar bernilai RM87 juta itu mendapati premis berkenaan dilengkapi kemudahan seperti lif, eskalator, medan selera, tempat parkir bertingkat, ruang punggah, kamera litar tertutup (CCTV) selain mempunyai susun atur ruang perniagaan yang sistematik berbanding pasar sementara dahulu.

Bagaimanapun masih ramai peniaga belum memulakan perniagaan mereka di pasar itu dan pelanggan juga didapati masih kurang berikutan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh yang bermula semalam sehingga 14 Jun ini.

Ketua Kawasan Selayang Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Mohd Hafiz Mohd Sidik ketika ditemui berkata, rata-rata peniaga di situ masih dalam proses untuk berpindah termasuk memindahkan barangan dari premis lama bersebelahan bangunan baharu itu.

“Hari pertama berniaga di tempat baharu berjalan dengan lancar, tidak ada banyak aduan yang diterima, masing-masing sibuk dengan urusan perpindahan dan susun atur barang di premis.

“Masalah berbangkit sebelum ini seperti laluan ramp tidak mencukupi dan tiada laluan kecemasan namun ia telah ditambah baik, jadi kalau ada pun, hanya sedikit masalah sahaja,” katanya.

Mohd Hafiz berkata peniaga turut menyambut baik usaha Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa memberikan pengecualian sewa kepada semua peniaga di pasar harian tersebut sehingga Disember ini bagi meringankan beban terutama di waktu pandemik ini.

Pemindahan peniaga Pasar Harian Selayang ke bangunan baharu itu telah ditangguhkan sebanyak dua kali iaitu pada 1 Januari dan 1 April lalu bagi membolehkan kerja ubah suai dilakukan.

Sementara itu, Merinyu Kanan Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Shamsul Bahari Ismail berkata, antara 60 hingga 70 peratus daripada 534 peniaga mula berpindah ke pasar baharu itu semalam.

“Daripada jumlah itu, 65 peratus sudah mula berniaga dan menyusun barang di premis baharu. Dari segi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 pula berada di tahap yang baik termasuk disediakan laluan khas untuk masuk dan keluar,” katanya sambil menambah operasi perniagaan bermula dari 6 pagi hingga 2 petang sahaja sepanjang pelaksanaan sekatan perjalanan.

Shamsul Bahari berkata 220 tapak premis yang berkeluasan lapan kali lapan kaki persegi yang disediakan di pasar itu masih dalam proses tawaran dan temu duga kepada peniaga baharu.

Sementara itu, peniaga ikan air tawar, Norizah Saptu, 40, berkata jualan pada hari pertama agak menurun kerana kurang pengunjung dan hanya berharap kepada pelanggan tetap sahaja.

“Mungkin tempat baharu, ramai yang masih dalam suasana untuk menyesuaikan diri, jadi ia akan mengambil masa, apatah lagi sekarang dalam suasana ‘lockdown’ yang telah mengehadkan pergerakan orang ramai,” katanya.

Peniaga santan Rokiah Mohd Isa, 68, pula berkata beliau berharap premisnya dapat diubah suai pada masa akan datang memandangkan tempat baharu agak sempit bagi menempatkan mesin santan yang besar.

“Saya berharap tempat ini dibesarkan sedikit, satu ruang untuk mesin perah santan, satu lagi untuk ruang kita berniaga dan berurusan dengan pembeli, barulah keselamatan dan keselesaan terjamin,” katanya yang dapat menjual 60 kilogram santan pada hari pertama berniaga di pasar baharu itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.