PBA diarah bersih bahan buangan dilepas ke Sungai Perai

Kumpulan alam sekitar suarakan kebimbangan air berwarna ‘teh tarik’ mengalir ke anak sungai.

GEORGE TOWN: Sebuah loji rawatan air Pulau Pinang dikesan melepaskan alum enap cemar ke dalam sungai di Seberang Perai.

Perkara itu disahkan Jabatan Alam Sekitar dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, JAS sudah mengarahkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) untuk segera menangani masalah berkenaan kerana alum enap cemar dikategorikan sebagai bahan buangan terjadual.

Tindakan itu diambil selepas beberapa kumpulan aktivis alam sekitar tempatan memberi amaran berhubung kejadian air berwarna “teh tarik” yang dilepaskan dari loji rawatan air PBA di utara Butterworth ke anak sungai yang mengalir ke Sungai Perai.

Pertubuhan Lestari Khazanah Alam, Pulau Pinang (LEKAS), mendakwa bahan yang dilepaskan itu menjejaskan aktiviti pertanian di sepanjang sungai di kawasan Seberang Perai.

Alum enap cemar adalah produk sampingan dari aluminium sulfat atau polyaluminium klorida yang digunakan di loji rawatan air, yang digunakan dalam proses pembekuan dan kemudian meninggalkan sisa aluminium atau alum enap cemar.

PBA sebelum ini berkata, sisa aluminium yang dilepaskan dari loji rawatan itu adalah tidak beracun tidak menunjukkan ciri-ciri sisa terjadual.

Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata PBA sudah dimaklumkan untuk segera mengatasi masalah pengurusan bahan buangan terjadual dan efluen.

Beliau berkata, PBA tidak boleh terus menghentikan operasi loji rawatan air kerana ia membekalkan air bersih kepada 85% penduduk Pulau Pinang dan sudah mengemukakan beberapa langkah jangka masa pendek dan panjang bagi mengatasi masalah pengurusan buangan terjadual dan efluen.

Sharifah berkata, mengikut perundangan sedia ada, alum enap cemar itu (SW 204) dikategorikan sebagai sisa buangan terjadual dan perlu diurus atau dilupus mengikut kaedah yang ditetapkan.

“Jabatan ini juga berpandangan bahawa isu kos adalah tidak munasabah kerana situasi dan kos yang sama juga ditanggung oleh industri-industri lain di Malaysia.

“Dalam hal ini, kos pengurusan pelupusan buangan serta air sisa perlu diambil kira dalam kos operasi keseluruhan supaya pengeluaran air bersih dijalankan secara lestari dan mengikut peruntukan undang-undang.

“Prinsip yang sama juga diaplikasikan oleh lain-lain industri di Malaysia supaya premis mematuhi segala keperluan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan kualiti alam sekitar tidak dikompromi.,” katanya.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.