PBB kecewa dengan korban awam di Gaza

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kecewa dengan korban awam di Gaza dan berasa ‘sangat terganggu’ oleh serangan Israel.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata beliau kesal dengan tindakan regim zionis menyerang kediaman dan bangunan menempatkan pejabat media antarabangsa.

Beliau berkata demikian susulan serangan udara oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza, yang mengorbankan sepuluh sekeluarga selain merobohkan bangunan 13 tingkat menempatkan agensi berita Al Jazeera dan The Associated Press (AP).

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata tindakan itu menyaksikan pejuang Palestin dan Hamas membalas balik dengan serangan roket terhadap Tel Aviv.

“Setiausaha Agung kecewa dengan peningkatan jumlah korban awam termasuk kematian sepuluh sekeluarga termasuk kanak-kanak dan wanita akibat serangan udara Israel malam tadi di kem al-Shati di Gaza.

“Kononnya mereka menyasarkan seorang pemimpin Hamas, namun orang awam yang tidak berdosa menjadi korban.

“Guterres juga sangat terganggu dengan kemusnahan akibat serangan udara oleh Israel hari ini, terhadap bangunan bertingkat di bandar Gaza menempatkan pejabat beberapa media antarabangsa dan pangsapuri kediaman,” katanya.

Tambah Dujarric, Guterres turut mengingatkan semua pihak bahawa sasaran sembarangan terhadap orang awam dan struktur media adalah menyalahi undang-undang antarabangsa serta mesti dihindari dengan apa cara sekalipun.

Menurut pegawai kesihatan, serangan udara dan artileri oleh Israel ke atas Gaza sejak Isnin lalu mengorbankan lebih 145 orang termasuk 41 kanak-kanak serta mencederakan 1,100 orang.

Tidak kurang juga yang menyamakan tragedi keganasan terburuk di wilayah itu dengan perang Gaza pada 2014.

Pejuang Palestin menembak sekurang-kurangnya 2,300 roket ke Israel, mengakibatkan sepuluh orang termasuk seorang kanak-kanak dan seorang anggota tentera terbunuh selain mencederakan lebih 560 rakyatnya.

Pasukan pertahanan udara Israel mendakwa pihaknya memintas banyak roket yang dilancarkan pejuang Palestin.

Majlis Keselamatan PBB mengadakan pertemuan hari ini bagi membincang mengenai keganasan akibat krisis Israel-Palestin. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.