PBB, OIC perlu ada pelan jangka panjang

[email protected]

KUALA LUMPUR: Perjanjian gencatan senjata yang dimuktamadkan di antara Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (HAMAS) dan rejim Zionis bagi menamatkan pertempuran di wilayah Gaza, disambut baik banyak pihak.

Ini tidak terkecuali dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara ini. Namun di sebalik gencatan senjata itu, banyak pihak mahu gesaan agar pencerobohan rejim Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa dan seluruh kompleks persekitarannya serta pengusiran warga Palestin di Sheikh Al-Jarah, dihentikan serta-merta.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata sudah masanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mengemuka pelan jangka panjang secara menyeluruh yang perlu dilaksanakan, demi memartabatkan hak rakyat Palestin.

Antaranya, ABIM menggesa Majlis Keselamatan PBB di bawah mandat Perkara 41 Piagam PBB untuk meluluskan operasi keamanan ke Palestin untuk menjaga serta memberi jaminan keselamatan kepada penduduk di negara itu.

“PBB serta OIC juga boleh menubuhkan misi tentera pengaman khusus di Palestin serta wilayah bergolak di sekitarnya. Ini disebabkan mandat tentera pengaman ini tidak dihadkan pada tempoh tertentu.

“Keganasan yang sentiasa berulang sejak beberapa dekad lalu justifikasi penting untuk badan antarabangsa segera bertindak untuk menangani sebarang kemungkinan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pertempuran ganas sejak 11 Mei menyaksikan kira-kira 232 penduduk Palestin termasuk 65 kanak-kanak dan mencederakan lebih 1,900 orang manakala 120,000 kehilangan tempat tinggal.

Dalam itu, Muhammad Faisal berkata, ABIM menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kekal konsisten dan mempercepat proses pendakwaan ke atas Israel.

“Pendakwaan ini berasaskan pada kesalahan rejim Israel mencabuli Resolusi 2334 Majlis Keselamatan PBB. Resolusi ini mengesahkan pendudukan haram Israel di wilayah Palestin serta timur Baitulmaqdis tidak sah.

“Ia harus dianggap sebagai pelanggaran yang ketara terhadap undang-undang antarabangsa,” katanya yang turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa, atas sokongan yang diberikan kepada rakyat Palestin sejak sekian lama.

Katanya, tekanan yang diberikan ke atas Israel sepanjang konflik itu membuktikan suara kemanusiaan kuasa keramat yang boleh mengubah dunia.

Sementara itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Muhammad Fauzi Asmuni berkata, ketegangan perang itu wajar menjadi pengajaran kepada Malaysia, kerana tiada jalan lain umat Islam mencapai kemuliaan, kecuali dengan istiqamah di atas prinsip dan berjihad dengan sedaya upaya.

“Kami mengucapkan tahniah kepada seluruh umat Islam di Palestin, pemimpin dan rakyat, atas kemenangan besar mereka meruntuhkan kesombongan Israel di dalam perang 10 hari Saiful Quds.

“Pelajaran buat kita di Malaysia ialah tiada jalan lain bagi umat Islam untuk mencapai kemuliaan, kecuali dengan istiqamah di atas prinsip dan berjihad dengan sepenuh upaya.

“Umat Islam seluruh dunia terhutang budi kepada rakyat Palestin yang menjaga maruah Islam untuk satu tempoh panjang. Bagi membalas jasa itu, terus menyumbang untuk pembangunan Palestin dan seterusnya membebaskannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.