PETALING JAYA: Seorang pekerja reban ayam didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, atas tuduhan membunuh seorang lelaki, bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Sulaiman Yaacob, 22, ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga warga Thailand didakwa membunuh Mohd Daiylamien Mohd Ashari, 38, di sebuah reban ayam di belakang sebuah rumah di Kampung Che Arus, Kok Lanas, Kota Bharu, jam 11.30 malam hingga 11.46 malam pada 19 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori, menurut laporan Berita Harian.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin yang memohon tarikh untuk serah dokumen dan sebutan semula kes manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 1 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pekerja reban ayam dipercayai menikam seorang lelaki sehingga mati selepas mangsa terpijak kepalanya ketika sedang tidur di Kampung Che Arus, Bukit Merbau, Kok Lanas, 19 Mei lalu.
Suspek warga Thailand dikenali sebagai Man Siam, melarikan diri selepas kejadian itu tetapi berjaya ditahan ketika bersembunyi di dalam semak berdekatan lokasi kejadian keesokannya.
Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)