Pelampung botol plastik

Ceuta: Demi kelangsungan hidup, seorang pelarian remaja terdesak menggunakan botol plastik sebagai pelampung ketika berenang memasuki pantai Ceuta, wilayah Sepanyol di utara Afrika.

Dalam satu rakaman video dipetik dari Independent TV, remaja dianggarkan berusia antara 13 hingga 14 tahun itu dilihat menangis teresak-esak sebelum tiba di tepi pantai.

Dalam kepayahan, dia sedaya-upaya berenang menggunakan pelampung yang diperbuat dari beberapa botol air yang diikat dengan tali pada badannya.

Kehadiran remaja itu disedari penduduk tempatan serta tentera yang mengawal kawasan itu.

Setibanya di pantai, remaja itu cuba melarikan diri dengan memanjat tembok berhampiran namun berjaya ditahan pihak berkuasa.

Tiada laporan apa nasib remaja itu selepas itu, namun tindakan mengusir golongan bawah umur adalah dilarang di Sepanyol.

Peningkatan pendatang ke wilayah Sepanyol di utara Afrika bermula sejak Isnin lalu selepas Maghribi mula melonggarkan kawalan sempadan.

Dilaporkan, ribuan pelarian berenang dan memanjat tembok untuk memasuki wilayah Eropah itu minggu ini.

Dianggarkan, 1,500 pendatang yang cuba memasuki Ceuta dari Maghribi dipercayai terdiri dari kalangan remaja dan kanak-kanak.

Menurut Menteri Hak Asasi Sosial Sepanyol, Ione Belarre, dalam ribuan pendatang yang masih berada di Ceuta, kebanyakan daripada mereka adalah kanak-kanak berusia tujuh hingga sembilan tahun serta ada antaranya sebatang kara.

Sepanyol meletakkan pihak berkuasanya ke wilayah Afrika Utara sejak kedatangan awal golongan pelarian ke bandar itu.

Malah, sebilangan besar daripada pelarian itu sudah dihantar pulang ke Maghribi.

Ceuta dengan populasi hanya 80,100 terletak di hujung utara Maghribi, di utara Afrika dan bertentangan dengan Gibraltar di benua Eropah.

Satu lagi wilayah dikuasai Sepanyol di utara Afrika adalah Melilla. Ceuta dan Melilla menjadi tumpuan pendatang Afrika yang cuba mencari kehidupan lebih baik di Eropah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.