Pembekal sayur hadapi tuduhan bunuh

Mahkamah menetapkan 6 Ogos ini untuk sebutan semula kes. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pembekal sayur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dan sengaja mencederakan dua lelaki lain di Taman Desa Maju Perak, Langkap, bulan lepas.

R Chandran, 34, mengangguk tanda memahami pertuduhan bunuh yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norita Mohd Ardan.

Pengakuannya bagaimanapun tidak direkodkan, kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Tertuduh yang berpakaian lokap berwarna ungu didakwa membunuh R S Ragu, 29, di hadapan kedai kosong di Hala Kristal 1, Taman Desa Maju Perak, antara 6 petang dan 6.50 petang, 13 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, menurut laporan Bernama.

Chandran juga mengaku tidak bersalah mencederakan Kiran, 19, dan S Saravanan, 26, menggunakan parang di tempat, masa dan tarikh sama, dengan seorang daripada mangsa parah dalam kejadian itu.

Bagi tuduhan menyebabkan kecederaan, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 326 kanun sama kerana menyebabkan kecederaan parah, yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azimah Che Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Charan Singh.

Mahkamah menetapkan 6 Ogos ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.