Pemilik restoran stimbot didakwa terima rasuah RM7,000

Cheah Yew Chuen, 34, dituduh melakukan perbuatan itu di Maybank Cawangan Jalan Ipoh, di Jalan Sultan Azlan Shah pada 27 Nov 2018. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik restoran stimbot mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM7,000 tiga tahun lalu.

Cheah Yew Chuen, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Azura Alwi.

Dia didakwa secara rasuah menerima suapan melalui cek bernilai RM7,000 daripada seorang individu yang mewakili sebuah premis pub dan kafe yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya sebagai dorongan untuk mempercepat proses pembayaran insentif daripada pihak syarikat minuman keras berjumlah RM100,000 kepada premis itu.

Cheah dituduh melakukan perbuatan itu di Maybank cawangan Jalan Ipoh, di Jalan Sultan Azlan Shah pada 27 Nov 2018.

Dia dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pegawai pendakwa SPRM Tuan Attfina Tuan Kamaluddin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan sebulan sekali.

Peguam Rajsurian Pillai kemudian memohon jaminan rendah diberikan kepada Cheah dengan alasan anak guamnya itu memberikan kerjasama baik kepada pihak SPRM sepanjang siasatan, selain memerlukan rawatan untuk penyakit gout yang dihidapi.

Azura membenarkan Cheah diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Julai untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.