Pendakwah popular Bangladesh ditahan, dikaitkan kes ‘anti-keganasan’

DHAKA: Polis Bangladesh menangkap seorang pendakwah paling popular di negara itu, yang di dakwa menghasut orang ramai menyokong kumpulan militan.

Seorang pegawai kanan kerajaan memaklumkan, pendakwah itu, Amir Hamza, adalah antara pemimpin Islam berprofil tinggi terbaru yang ditahan sejak Mac lalu, ketika lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi, mencetuskan tunjuk perasaan yang menyaksikan sekurang-kurangnya 13 orang terkorban.

Menurut polis, Hamza ditahan dalam serbuan di rumahnya di bandar Kushtia barat negara itu sebelum dipindahkan ke Dhaka.

Ketua Unit Kontra-keganasan Polis Dhaka, Mohammad Asaduzzaman, berkata mahkamah memutuskan Hamza ditahan selama 10 hari untuk disoal siasat.

“Beliau ditahan atas tuduhan terbabit dalam kes antikeganasan,” katanya, sambil menambahkan bahawa penyiasat telah menjumpai video ucapan Hamza di dalam telefon bimbit seorang suspek yang ditahan bulan ini atas tuduhan berkomplot menyerang parlimen Bangladesh.

Hamza, yang berusia 30-an, adalah salah satu generasi baru pendakwah Islam yang pidatonya menarik ramai orang di negara majoriti Islam itu.

Ucapan video YouTube Hamza mendapat jutaan tontonan.

Pada 2019, Mizanur Rahmani Azhari, seorang pendakwah terkemuka di negara itu melarikan diri kerana bimbang akan didakwa berikutan ucapannya yang kontroversi.

Kunjungan oleh pemimpin nasionalis Hindu India dipercayai pencetus gelombang penahanan baru pemimpin Islam yang dikaitkan aktiviti keganasan.

Perdana Menteri, Sheikh Hasina, dilaporkan malu dengan tindakan penunjuk perasaan yang mengumpulkan puluhan ribu peserta ketika lawatan oleh sekutu utamanya.

Pemimpin Islam menuduh Modi menjalankan dasar anti-Islam yang mencetuskan bantahan puluhan ribu orang yang mengamuk, menyerang balai polis dan pejabat pemerintah.

Wakil Ketua Polis Bangladesh, Haider Ali, memberitahu bahawa sekurang-kurangnya 1,230 pengikut kumpulan Hefazat-e-Islam telah ditangkap sejak tunjuk perasaan yang menyebabkan puluhan orang maut pada 26-28 Mac.

Dalam masa yang sama, puluhan pemimpin Hefazat telah ditahan. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.