Penduduk Gaza pulang ke rumah

Gaza: Puluhan ribu penduduk Palestin yang melarikan diri sebelum ini mula kembali ke rumah mereka yang musnah selepas berakhirnya episod hitam 11 hari pertempuran antara Hamas dan Israel.

Buat pertama kalinya mereka keluar untuk memeriksa kejiranan, bangunan musnah, mengunjungi laut serta mengebumikan mayat mangsa yang terkorban.

Nazmi Dahdouh, 70, berkata serangan Israel memusnahkan rumahnya di bandar Gaza.

“Kami tak ada rumah lain. Saya akan tinggal dalam khemah di atas runtuhan rumah saya sehingga ia dibina semula,” katanya.

Pasukan keselamatan berkata, mereka bekerja dengan sumber yang terhad untuk membantu mengeluarkan mangsa yang terselamat di bawah runtuhan.

Sementara itu, warga Israel juga meneruskan rutin harian seperti biasa selepas gencatan senjata diumumkan kedua-dua pihak pada awal pagi, Khamis.

Namun, di perkarangan Masjidil Aqsa, polis bertempur dengan penunjuk perasaan yang melontarkan batu selepas 12 jam gencatan senjata diumumkan.

Polis turut memukul jurugambar AFP yang membuat liputan di situ.

Menurut polis Israel, ratusan anggota digerakkan bagi mengawal rusuhan yang turut berlaku di beberapa kawasan di Baitulmaqdis Timur dan antara Baitulmaqdis dan Tebing Barat.

Pada Khamis, pejuang Hamas dan Israel mengumumkan gencatan senjata bagi mengakhiri pertempuran yang berlaku sejak 10 Mei lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.