Pengalaman berbuka puasa, bersahur atas kapal sudah sebati

[email protected]

Pasir Puteh: “Berbuka puasa ketika penugasan di perairan sempadan tiada beza seperti di rumah, cuma persekitarannya berbeza selain sentiasa berjaga-jaga dengan ancaman musuh,” kata Laskar Kelas I Maritim, Muhammad Syamirul Al Amin Mohamad Jambari.

Sudah tujuh tahun berkhidmat sebagai anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Muhammad Syamirul, 31, berkata setiap tahun pengalaman berbuka puasa dan bersahur di atas kapal semasa meronda pasti dirasai.

Menurutnya, tugas mengawal sempadan perairan selama 10 hari meliputi perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang malah sepanjang tempoh itu, seramai 26 kru akan berbuka puasa dan bersahur bersama.

“Tidak banyak perbezaannya kerana dari segi juadah kami turut dihidangkan menu sedap termasuk kuih muih disediakan tukang masak, cuma persekitaran dan suasana bersama keluarga sahaja membezakannya.

“Berbuka puasa bersama rakan turut meriah malah kami sudah seperti keluarga sendiri,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Beliau berkata, jika penugasan sehingga ke Aidilfitri pula, dia dan anggota lain akan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid di Pulau Perhentian dan menyediakan lemang yang dibakar bersama selain meraikan hari raya dengan penduduk seketika sebelum kembali bertugas mengawal perairan negara.

Terdahulu, pengalaman berbuka puasa di atas Kapal KM Amanah milik APMM Kelantan turut dirasai lapan pengamal media dari negeri ini dengan jarak 15 batu nautika dari jeti Maritim Tok Bali, di sini.

Pengalaman turut dikongsi seorang lagi anggota, Laskar Kanan Maritim Mohd Saiful Umri Umar, 32 yang bertindak sebagai tukang masak di atas kapal terbabit.

Mohd Saiful Umri berkata, sejak dua tahun lalu beliau menggalas tanggungjawab diberikan tanpa mengeluh, malah menganggap tugas pilihannya itu tidak kurang mencabar kerana perlu ‘berperang’ di dapur kapal.

Katanya, bukan sahaja sering berdepan dengan perkakas dapur berselerak, tetapi tumpahan minyak panas semasa memasak kerap dialami apabila kapal dilambung ombak terutama ketika musim tengkujuh.

“Untuk Ramadan, saya biasanya menyediakan menu lauk pauk berkuah dan ditukar setiap hari antaranya ayam masak kicap, sup dan ayam masak merah.

“Lazimnya, stok bahan mentah untuk digunakan dalam tempoh 10 hari akan dibeli dua kali dan disimpan dalam tiga peti yang disediakan di atas kapal ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.