Pengambilan vaksin capai ijmak ulama, fardu kifayah

[email protected]

IPOH: Hukum mengenai keharusan mengambil imunisasi vaksin COVID-19 dianggap mencapai taraf ijmak atau kesepakatan ulama mujtahid sedunia selain pembangunannya turut dianggap sebagai perkara fardu kifayah.

Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, United Kingdom, Datuk Dr Afifi al-Akiti, berkata ulama seluruh dunia Islam termasuk ulama Al-Azhar, Jeddah (Arab Saudi) boleh dikatakan sudah sepakat, ijmak mengenai keharusan hukum mengambil vaksin.

“Boleh dikatakan hukum mengambil vaksin ini fardu kifayah seperti mana solat berjemaah.

“Gesaan supaya masyarakat tidak mengambil vaksin, umpama menyekat orang lain daripada mendirikan solat jemaah. Jika tidak mahu ambil vaksin, jangan pula gesa orang lain mengelak dari mengambilnya,” katanya.

Dr Afifi yang juga Pengerusi UniKL RCMP, berkata demikian dalam Bicara Khas Ramadan bertajuk “Dugaan COVID-19 dan Vaksinasi Menurut Islam” menerusi sidang video dalam Program Iftar Mahabbah Ramadan UniKL RCMP yang disiarkan secara langsung di Facebook Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP), di sini, hari ini.

Bual bicara itu turut menampilkan pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sebagai panelis. Turut hadir Orang Besar Jajahan Kinta, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan dan Ketua Eksekutif merangkap Ketua Kampus UniKL RCMP, Hisshamuddin Omar.

Afifi mengulas saranan pihak tertentu khususnya golongan anti vaksin yang dilihat kerap melontarkan persepsi buruk mengenai pengambilan imunisasi terbabit.

Ijmak ialah kesepakatan ulama mujtahid dalam menetapkan suatu hukum berasaskan Al-Quran dan Hadis mengenai suatu perkara yang terjadi selepas zaman Rasulullah SAW manakala fardu kifayah bererti perkara yang wajib dilakukan sebahagian anggota masyarakat untuk menjaga kepentingan ummah.

Beliau berkata, Rasulullah SAW pernah memberi peringatan keras bahawa seseorang sudah dianggap sebagai penipu dan pendusta walaupun sekiranya dia hanya menyampaikan apa sahaja yang didengarnya tanpa memeriksa kebenaran dan kesahihan perkara itu.

“Zaman media sosial sekarang menyaksikan ramai manusia lebih suka ‘forward’ (memanjangkan) mesej yang mereka terima umpamanya melalui aplikasi WhatsApp, tanpa mereka tahu kebenaran maklumat pada mesej itu. Perbuatan itu umpama kita sedang menyemai ‘saham’ dosa kita,” katanya.

Beliau juga menasihatkan masyarakat tidak terpengaruh dengan kenyataan segelintir ilmuan agama yang mendakwa penjarakan fizikal dalam saf solat berjemaah bercanggah dengan tuntutan agama yang pada asalnya menggesa supaya saf antara jemaah dirapatkan.

“Saya ingin memperingatkan kepada ustaz dan imam kita bahawa Islam dan sains sepatutnya seiringan. Dalam satu riwayat oleh Abu Yaala dan Musnad Ahmad, Rasulullah SAW mengajarkan supaya kita menjarakkan diri sejauh satu panjang tombak ketika bermuamalat dengan seseorang yang berpenyakit.

“Begitu juga dengan hukum solat dalam keadaan duduk dan baring yang umum sedia diketahui. Allah SWT tetap menerima solat dalam keadaan bergantung kepada keadaan kesihatan individu yang melakukannya, apatah lagi merapatkan saf bukanlah suatu kewajipan,” katanya.

Sementara itu, Don Daniyal berkata, orang beriman seharusnya melihat wabak COVID-19 sebagai bala atau ujian yang ditimpa bagi meningkatkan keimanan umat Islam supaya memperbanyakkan amal salih serta doa bagi supaya bala itu segera dilenyapkan.

Menjawab soalan hadirin, beliau berkata, pengambilan vaksin pada dasarnya adalah satu kewajipan kerana ia adalah saranan pemerintah, namun tugas manusia bukanlah sekadar terus menghukum secara keras.

“Saya ambil pendekatan tidak mahu menghukum biarpun saya akui melawan saranan pemerintah selagi tidak bercanggah syarak sememangnya suatu dosa. Sebaliknya kita wajar bawa mesej ini (kewajipan vaksin) dalam nada yang baik dan bersahaja,” katanya.

Sementara itu, Hisshamuddin berkata, Program Iftar Mahabbah Ramadan UniKL RCMP 1442H / 2021 adalah kemuncak pelbagai aktiviti pengumpulan dana yang dirangka Bahagian Pembangunan Pelajar dan Gaya Hidup Kampus universiti itu bagi disumbang kepada masyarakat sekitar bandaraya ini.

Antara aktiviti itu adalah agihan bantuan makanan untuk golongan B40, pembahagian pek sahur kepada golongan memerlukan, serta sumbangan kepada sekolah tahfiz yang dibuat sepanjang Ramadan kali ini menerusi tajaan yang diperoleh bagi kesemua aktiviti itu mencecah RM40,000.

Katanya, program berbuka puasa itu turut menyaksikan penyerahan sumbangan Aidilfitri kepada 89 anak yatim daripada tiga institusi iaitu Yayasan An-Nur Maisarah, Chemor; Pertubuhan Baitulaini, Kuala Pari; dan Rumah Anak Yatim Al-Harraz, Simpang Pulai membabitkan jumlah RM22,250.

“Sebahagian daripada jumlah RM22,250 yang berjaya dikumpul itu akan turut diagihkan dalam bentuk duit raya kepada petugas am UniKL RCMP,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.