Pengangkutan awam berasas rel pilihan lebih selamat

[email protected]

SISTEM pengangkutan awam di negara ini menghadapi pelbagai cabaran khususnya penularan pandemik COVID-19.

Ketika kita berdepan krisis kesihatan itu, kita dikejutkan dengan kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya (KJ Line) sekitar jam 8.45 malam kelmarin menyebabkan 47 penumpang parah, manakala 166 lagi cedera ringan.

Kemalangan berlaku di laluan terowong berhampiran Stesen LRT KLCC membabitkan tren dari Gombak bergerak secara automatik membawa 213 penumpang itu dengan sebuah lagi tren kosong dipandu manual dari Kampung Baru.

Tren dari Kampung Baru itu mengalami kerosakan dan sedang dipandu uji di laluan sebenar ketika kejadian.

Terdapat pelbagai andaian awal mengenai insiden ini antaranya mungkin akibat kesilapan sistem isyarat (signaling system), kegagalan komunikasi di Pusat Kawalan LRT atau kecuaian manusia.

Polis juga memaklumkan buat masa ini tiada sebarang unsur sabotaj boleh dikaitkan, namun pihak berkuasa bersama pakar daripada Kementerian Pengangkutan, Prasarana dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) masih menyiasat segala kemungkinan dan petunjuk.

Perasaan cemas tentu menyelubungi warga Lembah Klang, terutama mereka yang selalu menggunakan pengangkutan awam ini kerana ia insiden kali pertama dalam sejarah 23 tahun pengangkutan awam berasaskan rel di negara ini.

Secara sejarahnya, Sistem Transit Aliran Ringan (STAR) asalnya diusulkan pada awal 1980-an apabila Kajian Pengangkutan Pelan Induk Kuala Lumpur mendapati ibu kota memerlukan sistem rel bersepadu untuk memperbaiki infrastruktur pengangkutannya.

Pada akhir 1991, STAR ditubuhkan untuk membina, memiliki dan mengendalikan fasa pertama LRT meliputi laluan sejauh 12 kilometer dari Ampang (dikenali sebagai Laluan Ampang) ke Jalan Sultan Ismail dengan 13 stesen dibina di sepanjang laluan.

Projek LRT pertama itu memulakan operasi pada Disember 1996. Dikenali sebagai STAR LRT, ia turut ditawarkan bagi kawasan Sri Petaling (dikenali sebagai Laluan Sri Petaling).

Selain itu, Lembah Klang juga mempunyai satu lagi perkhidmatan LRT untuk Petaling Jaya dahulunya dikenali PUTRA LRT, iaitu Laluan Kelana Jaya (KJ Line) memulakan operasi pada 1 September 1998.

Justeru, pengangkutan awam seperti LRT ialah kemudahan terbaik bagi kawasan bandar pesat bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas terutama di Kuala Lumpur. Ia juga bertujuan mengurangkan tempoh perjalanan dan menjana pembangunan ekonomi.

Di seluruh dunia, sektor pengangkutan menghadapi beberapa masalah peningkatan permintaan trafik seperti kesesakan, penggunaan tenaga, kebisingan, pencemaran dan keselamatan.

Umum mengetahui, pengangkutan awam darat terbahagi kepada dua, iaitu berasaskan jalan dan rel. Berdasarkan statistik kemalangan jalan raya pada 2019, sebanyak 567,516 kes dilaporkan meragut nyawa 6,167 orang dengan kadar kehilangan satu nyawa dicatatkan setiap 85 minit.

Hampir 90 peratus jumlah kematian datang daripada kumpulan pengangkutan persendirian, iaitu motosikal sebanyak 64 peratus yang mempunyai risiko kemalangan paling tinggi, iaitu 17 kali ganda; kereta (18 peratus) dan pejalan kaki (6 peratus), manakala penunggang basikal, van serta lori menyumbang 10 peratus.

Peratusan kemalangan membabitkan pengangkutan awam seperti bas paling sedikit. Jelas, pengangkutan awam ialah mod pengangkutan paling selamat.

Jjika dibuat perbandingan antara dua jenis sistem pengangkutan ini, pengangkutan awam berasaskan jalan lebih berisiko dengan kemalangan kerana berkongsi jalan dengan kenderaan lain tetapi pengangkutan awam berasaskan rel lebih selamat kerana tidak berkongsi trek laluan.

Dianggarkan pada 2025, hampir 60 peratus populasi dunia akan tinggal di kawasan bandar. Namun, peningkatan urbanisasi membawa implikasi pertumbuhan kawasan bandar secara mendatar dengan cepat.

Ini akan memberikan impak besar terhadap pelbagai kemudahan dan infrastruktur sedia ada termasuk sistem pengangkutan awam.

Di Lembah Klang, pengangkutan berasaskan rel termasuk LRT menjadi pilihan utama warga kota bergerak termasuk ke tempat kerja, pusat beli-belah, institusi pengajian tinggi, sekolah atau tujuan bersantai.

Bagaimanapun, ketika negara berada pada awal penularan pandemik COVID-19, penurunan penggunaan pengangkutan awam berlaku dengan amat ketara.

Oleh itu, kerajaan mengambil inisiatif memperkenalkan Program My30 untuk warga negara Malaysia hingga penghujung tahun lalu tetapi dan disambung hingga Disember ini dengan pengguna cuma perlu membayar RM30 sebulan atau RM1 sehari bagi pas perjalanan tanpa had untuk pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana.

Pengangkutan awam juga antara alternatif dalam pemilikan kenderaan sendiri, selain membantu dalam menyelesaikan atau mengurangkan kesesakan jalan raya, mengurangkan kos sara hidup terutama dalam mengharungi pandemik COVID-19.

Malah, ia juga mampu menyelamatkan alam sekitar dengan penjimatan tenaga dan pengurangan kepada penggunaan bahan bakar.

Disebabkan sistem pengangkutan awam masih menjadi alternatif terbaik dalam kebanyakan aspek kehidupan dan nadi pembangunan ekonomi negara, sebarang usaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan termasuk isu keselamatan pengangkutan awam dan penumpang perlu sentiasa menjadi keutamaan.

Kita berdoa semoga kejadian tidak diingini ini tidak akan berulang lagi. Kita mendoakan semua mangsa cedera dalam kemalangan itu, diberikan kesembuhan.

Penulis adalah Pegawai Penyelidik di Centre for Transportation Research (CTR), Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.